PUTRAJAYA: Lebih 10 juta rakyat akan menerima Kad Diskaun Rakyat 1Malaysia (KDR1M) yang akan menawarkan diskaun dari 10 hingga 50 peratus di kedai dan perkhidmatan terpilih di seluruh negara.
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz, berkata sehingga kini lebih 4,500 peniaga bersetuju menawarkan diskaun itu untuk kegunaan semua lapisan masyarakat dan menjangka angka itu terus meningkat.
"Pada masa ini sudah diwujudkan kad diskaun untuk polis, tentera dan siswa. Selepas ini kita akan keluarkan KDR1M, di mana lebih ramai rakyat Malaysia boleh menikmati diskaun apabila membeli barang keperluan mereka," katanya ketika merasmikan ibu pejabat baru Informasi Malaysia di No 30B, Jalan Diplomatik 3/1 Presint 15, Putrajaya, hari ini.
Maglin berkata, KDR1M akan diurus oleh Informasi Malaysia iaitu sebuah agensi yang ditubuhkan pada 22 Okt 2009 untuk menjalankan program dan aktiviti dalam usaha menerangkan objektif dan fungsi gagasan 1Malaysia melalui penerbitan 'Buletin Informasi Malaysia.
Beliau berkata, inisiatif memperkenalkan KDR1M jelas menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat.
"Melalui transformasi nasional, kejayaan demi kejayaan telah dinikmati oleh semua golongan rakyat di negara ini. Ia jelas menunjukkan bahawa hanya kerajaan BN boleh mentadbir negara ini secara sistematik dan teratur," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Informasi Malaysia, Datuk Abd Rahman Manan, berkata KDR1M akan dilancarkan oleh perdana menteri dalam masa terdekat selepas memperincikan pelaksanaan dan kriteria pemberian kad itu.
"Kami sudah reka kad diskaun itu dan akan kemukakan kepada perdana menteri untuk mendapatkan persetujuan," katanya.
No comments:
Post a Comment