Thursday 3 January 2013

Blogger Taiping Mali Dedah Pandangan Takfir Sayyid Qutb Isu Hudud Canggah Sahabat Nabi & Ulama Dunia Islam


SIAPAKAH SYED QUTB DAN KHAWARIJ???

Di sini juga kami akan menjelaskan tentang fahaman sesat Sayyid Qutub dan pengikutnya yang mengikut fahaman Khawarij iaitu golongan yang mudah mengkafirkan umat Islam yang tidak sebulu dengan golongan mereka. Fahaman sesat Sayyid Qutub ini jelas apabila beliau dan pengikutnya telah mengkafirkan pemerintah Islam yang tidak melaksanakan undang-undang Islam dengan berdalilkan ayat al Quran di dalam Surah al-Maidah ayat 44.



Allah Ta`ala berfirman:

]وَمَنْ لَمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَل اللهُ فَأُلَئِكَ هُمُ الْكَافِرُوْنَ[  ]سورة المائدة : 44[

 Maksudnya: 
"Barangsiapa yang tidak memutuskan dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir".  

(Surah Al-Maidah : 44)                                                                    

Para ulama' kita menyatakan bahwa ayat di atas tidak boleh difahami secara harfiyah. Sebab apabila memahami ayat tersebut secara harfiyah, dengan memakai makna zahirnya akan menghasilkan penghukuman. Ertinya, menghukum "kafir" secara mutlak terhadap orang yang tidak memakai hukum Allah dan kekafiran itu akan kembali kepada dirinya sendiri. Ertinya sedar atau tidak sedar ia akan mengkafirkan dirinya sendiri, kerana seorang muslim walau sesiapapun dia, (kecuali para Nabi dalam masalah ajaran agama), akan jatuh ke dalam dosa dan maksiat. Ertinya, ketika orang muslim tersebut melakukan dosa dan maksiat bererti ia sedang tidak melaksanakan hukum Allah. Lalu, apakah hanya kerana dosa dan maksiat, bahkan bila dosa tersebut dalam kategori dosa kecil sekalipun, ia dihukumi sebagai orang kafir???

Bila demikian bererti semenjak dimulainya sejarah kehidupan manusia tidak ada seorangpun yang beragama Islam, sebab sesiapapun yang dikatkan manusia kecuali Nabi dan Rasul pasti berbuat dosa dan maksiat. Oleh itu, firman Allah di atas tidak boleh difahami secara harfiyah iaitu "Barangsiapa tidak memakai hukum Allah maka ia adalah orang kafir", pemahaman harfiyah semacam ini salah dan menyesatkan bahkan boleh membawa kepada kekufuran diri sendiri iaitu apabila seseorang itu mengkafirkan umat Islam yang tidak berhukum dengan hukum Allah.

Pentafsiran yang dinyatakan oleh Syed Qutb[1] bertentangan dengan pentafsiran `Abdullah ibn `Abbas radhiyallahu`anhu yang merupakan sahabat dan anak saudara Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam yang masyhur dengan gelaran Tarjuman al-Qur'an (pentafsir yang terulung dalam mentafsirkan al-Qur'an). Beliau didoakan secara lansung oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallamsehingga beliau mempunyai pemahaman yang luas dan mendalam mengenai tafsiran terhadap ayat-ayat suci al-Qur'an. Di dalam kitab Sahih al-Bukhari, jilid 1, halaman 25, pada bab ucapan Rasulullahsallallahu`alaihi wasallam اللهم علمه الكتاب bahawa Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam memeluk Ibn `Abbas dan bersabda اللهم علمه الكتاب. Al-Hafiz Ibn al-Jawzi di dalam kitabnya al-Majalis berkata : "Tidak diragukan lagi bahwa Allah telah mengkabulkan doa Rasulullah ini".

Di dalam riwayat yang lain, Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam telah memohon doa kepada Allah untuk Ibn `Abbas dengan sabdanya[2]:

"اَللَّهُمَّ عَلِّمْهُ الْحِكْمَةَ وَتَأْوِيْلَ الْكِتَابِ".

Maksudnya:                                                                                                     
"Ya Allah ajarlah ia hikmah dan (kemampuan untuk) menta'wil al Quran".

Pentafsiran Sayid Qutb bukan sahaja menyalahi atau bertentangan dengan pentafsiran Ibn `Abbas bahkan pentafsiran Sayid Qutb juga menyalahi pentafsiran para sahabat Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam yang lain dan juga para ulama' Islam yang mengikut mereka hingga kini.
Diriwayatkan daripada Ibn `Abbas di dalam kitab al-Mustadarak, juzuk 2, halaman 313. Al-Imam al-Hakim menyatakan: "Mengkhabarkan kepada kami Ahmad Ibn Sulaiman al-Maushili, mengkhabarkan kepada kami Ali Ibn Harb, mengkhabarkan kepada kami Sufyan Ibn Uyainah daripada Hisyam Ibn Hujair dari Thawus (murid Ibn `Abbas), beliau berkata: Ibn `Abbas berkata:[3]

"إِنَّهُ لَيْسَ بِالْكُفْرِ الَّذِيْ يَذْهَبُوْنَ إِلَيْهِ إِنَّهُ لَيْسَ كُفْرًا يَنْقُلُ عَنِ الْمِلَّةِ ((وَمَنْ لَمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَل اللهُ فَؤُلَئكَ هُمُ الْكَافِرُوْنَ)) كُفْرٌ دُوْنَ كُفْرٍ".

Maksudnya:  
"Sesungguhnya kufur tersebut (yang disebut dalam ayat) bukanlah kekufuran yang mengeluarkan seseorang dari agama ((وَمَنْ لَمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَل اللهُ فَأُلَئِكَ هُمُ الْكَافِرُوْنَ)) [tetapi sebaliknya] adalah kekufuran seseorang yang bukan kekufuran (dosa besar yang tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam)".

[Disahihkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak dan dipersetujui oleh al-Dzahabi]

Pentafsiran yang dibuat oleh Ibn `Abbas "kekufuran di bawah kekufuran (yang bukan membawa maksud terkeluarnya seseorang itu daripada Islam)" adalah seperti riya' (melakukan amal soleh dengan tujuan agar dipuji oleh orang lain). Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam menamakan riya' ini dengan al-Syirk al-Ashghar. Maksud syirik di sini adalah bukan syirik yang menyekutukan Allah (al-Syirk al-Akbar) yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam. Syirik yang mengeluarkan seseorang daripada Islam seperti menyembah selain daripada Allah dan menyamakan Allah dengan makhluk. Inilah yang dikatakan syirik yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam.

Di dalam kitab al-Mustadarak al-Imam al-Hakim meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"اِتَّقُوْا الرِّيَاءَ فَإِنَّهُ الشِّرْكُ الأَصْغَرُ".

Maksudnya:                                                                                                     
"Jauhilah sikap riya' kerana ia adalah syirik kecil."

Hadis di atas ini menyatakan Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam menetapkan adanya al-Syirk al-Ashghar. Begitu juga sahabat Nabi, Ibn `Abbas ketika mentafsirkan firman Allah: فَؤُلَئكَ هُمُ الْكَافِرُوْنَ,beliau menetapkan bahawa adanya kufur di bawah kekufuran iaitu kufur yang tidak menjadikan seseorang itu keluar daripada Islam. Semoga Allah meredhai Tarjuman al-Qur'an Abdullah Ibn `Abbas (sahabat Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam).

Selain itu, di dalam kitab Sahih Muslim daripada sahabat al-Bara' Ibn 'Azib, bahawa beliau berkata: "Sesungguhnya firman Allah ta`ala:

"وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَ اللهُ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْكَافِرُوْنَ". (Surah al-Maidah: 44)

Dan dua ayat sesudahnya yang berbunyi:

"فَأُوْلَئِكَ هُمُ الظَّالِمُوْنَ". (Surah al-Maidah: 45)

"فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُوْنَ". (Surah al-Maidah: 47)

Ayat-ayat di atas diturunkan kepada orang-orang kafir yang tidak mahu memakai hukum Allah. Ayat ini bukan diturunkan kepada orang-orang Islam yang tidak memakai hukum Allah tetapi ayat ini diturunkan kepada orang-orang Yahudi dan orang-orang kafir.

Al-Imam al-Qurthubi berkata di dalam kitab tafsirnya dalam penjelasan ayat ini menyatakan bahwa ayat ini mengandung takwil sebagaimana dinyatakan oleh sahabat Abdullah ibn Abbas dan sahabat al-Bara' ibn Azib. Al-Imam al-Qurtubi menyatakan di dalam kitabnya yang berjudul al-Jami` Li Ahkam al-Al-Qur'an pada jilid 6, halaman 190 seperti berikut:

"Seluruh ayat ini turun di kalangan orang-orang kafir (Yahudi). Sebagaimana hal ini dijelaskan dalam Shahih Muslim dari hadits sahabat al-Bara' ibn Azib. Adapun seorang muslim, walaupun ia melakukan dosa besar [selama ia tidak menghalalkannya], maka ia tetap dihukumi sebagai orang Islam, tidak menjadi kafir. Kemudian menurut satu pendapat lainnya, bahawa dalam ayat di atas terdapat makna tersembunyi (izhmar), yang dimaksud ialah: "Barang siapa tidak memakai hukum Allah, kerana menolak al-Qur'an dan mengingkarinya, maka ia digolongkan sebagai orang-orang kafir". Sebagaimana hal ini telah dinyatakan dari Rasullah oleh sahabat Abdullah ibn Abbas dan Mujahid. Inilah yang dimaksud dengan ayat tersebut".

Al-Imam al-Sya'bi juga menyatakan bahawa ayat ini khusus tentang orang-orang Yahudi. Pendapat ini juga dipilih oleh al-Nahhas. Alasan pendapat ini ialah:

  • Bahawa pada permulaan ayat ini yang dibicarakan adalah orang-orang Yahudi, yaitu pada firman Allah; "Lilladzin Hadu…". Dengan demikian maka dhamir (kata ganti) yang dimaksud dalam ayat tersebut adalah orang-orang Yahudi, bukan orang-orang Islam.
  • Bahwa pada ayat sesudah ayat ini, yaitu pada ayat 45, adalah firman Allah; "Wa Katabna 'Alaihim…". Ayat 45 ini telah disepakati oleh para ahli tafsir, bahawa dhamir yang ada di dalamnya yang dimaksud adalah orang-orang Yahudi. Dengan demikian jelas antara ayat 44 dan 45 mempunyai kaitan kuat bahawa yang dimaksud adalah orang-orang Yahudi [sebagaimana hal ini dapat difahami dengan 'Ilm Munasabat al-Ayat].
Penjelasannya bahawa dosa-dosa besar seperti membunuh orang Islam dan meninggalkan solat adalah perbuatan kufur sebagaimana yang diriwayatkan di dalam beberapa hadis dengan sanad yang sahih. Namun makna kufur yang dimaksudkan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam di dalam hadis-hadis tersebut bukanlah kufur yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam. Makna yang dimaksudkan di dalam hadis tersebut adalah perbuatan tersebut menyerupai kekufuran dan bukan membawa kepada kekufuran yang menyebabkan terkeluarnya seseorang itu daripada Islam. Seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis sahih  yang lain mengenai orang yang pergi berjumpa dukun atau bomoh dan membenarkan atau mempercayai kata-kata bomoh tersebut.
Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"مَنْ أَتَى عَرَّافًا أَوْ كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُوْلُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ".

Maksudnya:  
"Barangsiapa yang berjumpa dukun atau peramal dan membenarkan apa yang diucapkannya, maka ia telah "kafir" dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad."

Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam tidak memaksudkan bahawa seseorang muslim akan menjadi kafir dengan hanya pergi berjumpa dukun dan membenarkan ucapannya. Tetapi maksud Rasulullahsallallahu`alaihi wasallam adalah bahawa perbuatan tersebut adalah dosa besar yang menyerupai kekufuran.
Di dalam hadis sahih lain Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوْقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ".

Maksudnya:  
"Mencaci seorang muslim adalah kefasikan dan membunuhnya adalah kekufuran."

"Kufur" yang dimaksud dalam hadits ini bukan kufur yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam. Bukan ertinya, bila dua orang muslim saling bunuh, maka yang membunuhnya menjadi kafir. Bukankah "hukum bunuh" itu sendiri salah satu yang disyari'atkan oleh Allah, misalkan terhadap para pelaku zina muhsan (yang telah memliki pasangan), hukum qishas iaitu bunuh dengan bunuh, memerangi kaum bughat (orang-orang Islam yang memberontak), dan lain-lain. Apakah kemudian mereka yang memberlakukan hukum bunuh tersebut telah menjadi kafir??!! Tentu tidak, karena nyatanya jelas mereka sedang melaksanakan hukum Allah. Kufur yang dimaksudkan adalah perbuatan memerangi atau membunuh orang muslim adalah dosa besar yang menyerupai kekufuran.

Oleh itu,  peperangan sesama orang Islam sudah terjadi dari semenjak masa sahabat dahulu (lihat misalkan antara kelompok sahabat Ali Ibn Abi Thalib, sebagai khalifah yang sah saat itu, dengan kelompok Mu`awiyah), dan kejadian semacam ini terus berlanjut hingga sekarang. Apakah kemudian orang-orang mukmin yang berperang atau saling bunuh sesama mereka tersebut menjadi kafir; keluar dari Islam??? Siapa yang berani mengkafirkan sahabat Ali ibn Abi Thalib, Ammar ibn Yasir, al-Zubair Ibn al-Awwam, Thalhah Ibn Ubadillah, Siti Aisyah (Isteri Rasulullah), dan para sahabat lainnya yang terlibat dalam perang tersebut??? Orang yang berani mengkafirkan mereka, maka dia sendiri yang akan menjadi kafir. Di dalam al-Qur'an menamakan dua kelompok orang-orang Islam yang saling berperang sebagai orang-orang mukmin.

Allah ta`ala berfirman:

"وإن طآئفتان من المؤمنين اقتتلوا فأصلحوا بينهما فإن بغت إحدا هما على الأخرى فقاتلوا التى تبغى حتى تقىء إلى أمر الله فإن فآءت فأصلحوا بينهما بالعدل وأقسطوا إن الله تحب المقسطين".

Maksudnya:
"Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya, jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah, jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil".

(Surah al-Hujurat : 9)

Di dalam hadis sahih yang lain, Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"لا يَزْنِي الزَّانِيْ حِيْنَ يَزْنِيْ وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلا يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِيْنَ يَشْرَبُهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلا يَسْرِقُ حِيْنَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ".

Maksudnya:  
"Seorang penzina tidaklah berbuat zina dalam keadaan beriman, seorang yang meminum khamr (arak) tidaklah meminum khamr dalam keadaan beriman dan seorang yang mencuri tidaklah mencuri dalam keadaan beriman."

Hadis ini menjelaskan bahawa orang beriman tidak akan melakukan perbuatan zina, minum arak dan mencuri. Ini bukan bermakna orang yang melakukan tersebut dikatakan tidak beriman, sebaliknya maksud hadis di atas adalah orang yang melakukan zina, minum arak dan mencuri tetapi yang dimaksudkan adalah orang yang melakukan perbuatan tersebut adalah berdosa dan tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam sekiranya ia melakukan perkara tersebut.

Oleh itu jelaslah, berdasarkan kepada pentafsiran yang dibuat oleh Ibn `Abbas dan pentafsiran yang dibuat oleh al-Bara' Ibn `Azib dan sahabat-sahabat  yang lainnya bahawa yang dimaksudkan oleh ayat tersebut adalah dosa besar bukan kufur sebagaimana yang telah di tafsir oleh Sayyid Qutub[4]. Di antaranya penafsiran Abdullah Ibn Mas`ud dan al-Hasan yang menyebutkan bahwa ayat tersebut berlaku umum bagi orang-orang Islam, orang-orang Yahudi mahupun orang-orang kafir, dalam pengertian bahawa sesiapapun yang tidak memakai hukum Allah dengan menyakini bahawa perbuatan tersebut adalah sesuatu yang halal maka ia telah menjadi kafir.

Adapun seorang muslim yang berbuat dosa atau tidak memakai hukum Allah dengan tetap menyakini bahawa hal tersebut suatu dosa yang haram dikerjakan maka ia digolongkan sebagai muslim fasik. Dan seorang muslim fasik semacam ini berada di bawah kehendak Allah, antara diampuni atau tidak. Pentafsiran inilah yang dipegang teguh oleh para ulama' Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah.

Oleh itu perlu diingat bahawa al-Quran tidak boleh ditafsir dengan pendapat sendiri tanpa berpandukan ulama' yang `alim dan ulama' yang telah dii`tiraf sebagai orang yang `alim dalam bidang menafsirkan al-Quran seperti Ibn `Abbas (sahabat Rasulullah) yang tidak diragukan lagi tentang kebenaran dan kelayakan beliau. Hal ini telah ditegaskan sendiri oleh Rasulullah di dalam hadis baginda tentang akibat perbuatan mentafsir al-Quran dengan menggunakan pendapat sendiri.

Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda[5]:

"مَنْ فَسَّرَالْقُرْآنَ بِرَأْيِهِ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ".

Maksudnya:                                                                                                     
"Barangsiapa menafsirkan al Quran dengan pendapatnya saja, maka tempatnya di dalam neraka."

Golongan wahhabi juga sering mentafsirkan al-Qur'an dengan pendapat mereka sahaja tanpa berpandukan ilmu tafsir dan pentafsiran yang telah dibuat oleh ulama'-ulama' muktabar. Disebabkan pentafsiran tanpa dilandasi ilmu tafsir, maka telah mentafsirkan surah Taha ayat 5 sehingga menisbahkan tempat bagi Dzat Allah sedangkan untuk mengetahui makna ayat ini dengan benar, kita harus bertanya kepada ahlinya iaitu para mufassir (ahli tafsir). Orang-orang yang memahami ayat-ayat al-Quran dengan pemikirannya sendiri tanpa dilandasi ilmu yang luas, diancam oleh Rasulullahsallallahu`alaihi wasallam dengan sabdanya.

Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda[6]:

"مَنْ قَالَ فِيْ الْقُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ".

Maksudnya:                                                                                                     
"Barangsiapa berbicara tentang (ayat-ayat) yang terdapat di dalam al-Quran tanpa dilandasi ilmu, maka siapkanlah tempat duduknya di dalam neraka."

Pembohongan dan penipuan ini adalah jenayah ilmiah yang paling teruk kerana Rasulullahsallallahu`alaihi wasallam bersabda[7]:

"مَنْ كَذَّبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ لنَّارِ".

Maksudnya:                                                                                                     
"Barangsiapa yang melakukan pembohongan terhadapku, maka siapkanlah tempat duduknya di dalam neraka." 

Dan sabdanya lagi[8]:

"مَنْ حَدَّثَ عَنِّيْ بِحَدِيْثٍ يُرَىْ أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِيْنَ".

Maksudnya:                                                                                                     
"Barangsiapa berbicara tentangku ternyata ianya suatu pembohongan, maka dialah salah seorang daripada pembohong-pembohong." 

Inilah prinsip dasar yang harus dipegang, berbicara dengan ilmu, bukan dengan nafsu dan emosi. Cubalah untuk memahami huraian ayat-ayat al-Quran dari huraian para alim ulama' dan hal ini telah ditegaskan oleh Allah ta`ala di dalam al-Qur'an.


Allah ta`ala berfirman:

"فَاسْأَلُوْا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْمَلُوْنَ".

Maksudnya:
 "Maka bertanyalah kepada ahli zikir (orang yang mempunyai ilmu dan alim), jika kamu tidak mengetahui".

(Surah An-Nahl : 43 dan al-Anbiya' : 21)

Perintah untuk bertanya kepada ahli zikir yakni ulama' yang berilmu, bertakwa dan mengamalkan ilmunya, dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran sebanyak dua kali. Ini membuktikan bahawa pendapat para ulama sangat penting, sebab mereka adalah pewaris para Nabi.


[1] Sayyid Qutb dalam karyanya "Fi Zhilal al-Qur'an" menyatakan bahwa masa sekarang tidak ada lagi orang Islam yang hidup di dunia ini, karena tidak ada satupun negara yang memakai hukum Allah. Menurutnya suatu negara yang tidak memakai hukum Allah waluapun dalam masalah sepele maka pemerintahan negara tersebut dan rakyat yang ada di dalamnya adalah orang-orang kafir. Keadaan semacam ini menurutnya tak ubah seperti kehidupan masa jahiliyah dahulu sebelum kedatangan Islam. Pernyataan Sayyid Quthub ini banyak terulang dalam karyanya; Fi Zhilal al-Qur'an. Lihat misalkan j. 2, h. 590, dan h. 898/ j. 2, Juz 6, h. 898/ j. 2, h. 1057/ j. 2, h. 1077/ j. 2, h. 841/ j. 2, h. 972/ j. 2, h. 1018/ j. 4, h. 1945 dan dalam beberapa tempat lainnya. Juga ia sebutkan dalam karyanya yang lain, seperti Ma'alim Fi al-Thariq, h. 5-6/ h. 17-18.

[2] Diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan  Ibnu Hibban.

[3] Hadith ini diriwayatkan dengan sanad yang sahih.

[4] Sayyid Qutub bukanlah seorang yang `alim, beliau tidak pernah belajar dengan ulama' Ahl al-Sunnah, sebaliknya beliau  telah  menyerang ulama' al-Azhar dan mengajak untuk tidak menuntut ilmu Syar`i. Kemudian beliau mula mengarang dan menulis tanpa dibekali dengan ilmu yang cukup sehingga karya-karyanya seperti "Tafsir Fi Zhilal al Quran" yang penuh dengan kesesatan. Di antara kesesatan tersebut, adalah beliau telah menamakan Allah dengan nama "al-Aql al-Mudabbir" iaitu aqal yang mentadbir, menuduh Nabi Ibrahim telah musyrik. Selain itu beliau juga telah  mengkafirkan umat Islam yang hidup di bawah pemerintahan yang mempraktikkan selain hukum Islam dan masih banyak kesesatan-kesesatan lain seperti yang dijelaskan oleh para ulama` dalam karya-karya mereka seperti kitab "al-Nahj al-Sawiyy". Perlu diketahui juga di sini bahawa Sayyid Qutub telah membawa aqidah manhaj pemahaman dan manhaj pemikiran yang berbeza daripada  Al-Imam Hassan al-Banna.

[5] Diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi dan Nasa`i.

[6] Diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi dan al-Imam Ahmad

[7] Diriwayatkan oleh al-Imam Muslim di dalam Sahih Muslim pada bab Wajib meriwayatkan hadith dari golongan thiqah dan meninggalkan pembohongan. Lihat juga di dalam Sunan al-Tirmizi di dalam kitab al-Ilmu dan Ibn Majah di dalam Sunannya.

[8] Ibid.



Sumber :

http://taipingmali.blogspot.com/2011/03/kenali-syed-qutb-dan-khawarij-ahlu.html?m=1

No comments:

Post a Comment