KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menerima dengan terbuka syor diadakan
sebuah suruhanjaya bagi menyiasat secara terus berhubung isu pajakan
tanah seluas 4,000 hektar kepada syarikat yang kini dimiliki dua
pemimpin DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pihaknya terbuka
kepada apa jua bentuk siasatan kerana kerajaan negeri sentiasa
mengamalkan dasar telus dalam pentadbirannya.
Menurutnya, pegawainya telah pun menyerahkan fail-fail berkaitan urusan
pajakan tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
untuk disiasat.
“Saya beri peluang kepada orang buat apa sahaja termasuklah suruhanjaya
diraja atau apa sekalipun. Saya selalu sebut, pejabat saya dibuka 25
jam sehari dan bukannya 24 jam.
“Dengan cara itu saya sendiri selalu beringat, pegawai sendiri selalu
beringat, kerana apa? Kerana Menteri Besar sebut 25 jam buka pejabat
untuk disiasat,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan
amanat tahun baru sempena Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam
Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengulas desakan
Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mahu
suruhanjaya ditubuhkan bagi merungkai rasa tidak puas hati rakyat negeri
ini berhubung penjelasan yang dibuat kerajaan negeri berhubung pajakan
tanah tersebut.
*sumber : sinarharian.com.my
No comments:
Post a Comment