Sunday 6 January 2013

Bawakan Terukir Di Bintang Dengan Stail GQ, Aizat Dipuji!

Bawakan Terukir Di Bintang Dengan Stail GQ, Aizat Dipuji!

KUALA LUMPUR, 7 JAN 2013: Tuah yang datang daripada lagu Terukir Di Bintang telah menjulang dua nama penyanyi tempatan berbakat besar iaitu Yuna dan Aizat Amdan pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke 27 (AJL 27).
Walaupun terpalit dengan pelbagai kisah serta isu kontroversi yang berkaitan dengan penyanyi yang bakal menggantikan tempat Yuna di pentas AJL 27 baru-baru ini, namun lagu hasil nukilan sepenuhnya Yuna atau Yunalis Zarai itu akhirnya telah pun diangkat sebagai juara.

Dan, walaupun Anugerah Juara Lagu diadili melalui kekuatan lagu itu sendiri tetapi Aizat telah berjaya mendapat pujian ramai kerana berjaya membawakan lagu tersebut dalam masa kurang daripada 3 hari selepas diberitahu.
Kata Aizat ketika ditemui di sidang akhbar AJL27 malam tadi, dia berterima kasih kepada rakan muzik Yuna di sini iaitu Palawan kerana telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk dia membawakan lagu Terukir Di Bintang itu dengan sebaik mungkin.
"Syukur Alhamdulillah dan tahniah diucapkan buat Yuna kerana lagunya telah bergelar juara pada tahun ini. Saya sekadar menjalankan tugas sebagai seorang kawan di mana Yuna sendiri meminta tolong saya untuk mempersembahkan lagu Terukir Di Bintang.
"Dalam masa yang suntuk, saya bersama rakan muzik Yuna, Palawan dapat menghasilkan konsep persembahan untuk pentas AJL27. Tetapi semua ini sudah diatur olehNya. Kalau Dia sudah meletakkan lagu Yuna ini sebagai pemenang, sesiapa sahaja yang nyanyikan tetap akan menang," jawab Aizat kepada murai.com.my mengenai isunya menggantikan tempat Uji Rashid pada saat-saat yang terakhir.
Penyandang bagi naib juara telah berpihak kepada Azlan & The Typewriter dengan lagu Idola yang ditujukan khas buat lagenda Sudirman Hj Arshad. Lagu tersebut telah dicipta oleh Audi Mok dan lirik oleh Azlan sendiri dan telah berjaya membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM15,000.
Manakala Hafiz telah menjadi pemenang tempat ketiga dengan lagu Ku Akui ciptaan Ajai dan lagu Ku Akui telah membawa pulang trofi serta wang tunai RM12,000. Dia juga masih mengekalkan gelaran pemilik Vokal Terbaik bagi AJL 27 buat kali yang ketiga dan pulang dengan trofi dan wang tunai RM10,000.
Bagi pemenang persembahan terbaik yang dipilih sepenuhnya melalui peminat secara undian, ianya telah diraih oleh Black dan RJ menerusi lagu Teman Pengganti. Mereka menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000.
Kesemua 12 finalis AJL27 telah diadili oleh 10 juri profesional yang kesemuanya mempunyai kepakaran dalam bidang masing. Azmeer selaku ketua juri dibantu juri-juri lain seperti Yasin, Aubrey Suwito, Hetty Koes Endang, Edrie Hashim, Helen Yap, Azmeer dan Ad Samad.
Untuk siri kali ini, Anugerah Juara Lagu telah memilih tema Ekspresi Seni dan ia telah diterjemahkan melalui setiap persembahan finalis yang dilihat memiliki apresiasi seni tersendiri. Persembahan mereka juga telah dibantu dengan paparan LED teknologi tinggi memberikan kelainan kepada persembahan.
Tirai AJL27 mula dihangatkan oleh pembukaan daripada Misha Omar dengan lagu Bunga-Bunga Cinta, Ziana Zain rancak di pentas mendendangkan Fantalistik dan diakhiri oleh Faizal Tahir bersama Royal FT Force untuk lagu Anti Graviti.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, Faizal Ismail dan Cheryl Samad masih kekal menjadi pengacara bagi anugerah yang membuka tirai 2013 ini.
Yang menarik perhatian semua penonton di Stadium Putra pada malam itu adalah segmen interlude yang dibarisi para lagenda rock tempatan bersama gitaris hebat dari era masing-masing. Rodi (Kristal), AG Coco, Edrie Hashim dan Man Kidal telah digabungkan bersama dengan Rahmat (Mega), Aris Ariwatan, Joey (Bumiputera Rockers) serta papa rock, Ramli Sarip.
Masing-masing telah menyampaikan killer song pada zaman kegemilangan mereka seperti Bayangan Gurauan, Lamunan Terhenti, Seribu Tahun Takkan Mungkin dan Kamelia. Seakan konsert, interlude dari genre muzik rock ini telah berjaya menghangatkan lagi suasana sebelum keputusan pemenang diumumkan.

No comments:

Post a Comment