KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dan wanita yang mengamuk di luar pekarangan
Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya semalam, dipercayai
mengalami masalah mental, kata polis.
Khalil Afandi Hamid, 47, yang mendakwa dirinya Imam Mahadi dan
wanita berusia 28 tahun itu juga dipercayai ekstrem dengan ajaran Islam
menyebabkan mereka bertindak mengamuk bersenjatakan dua bilah pedang
samurai dan sebilah pisau pemotong daging.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata Khalil Afandi dan
wanita itu, dipercayai baru mengenali satu sama lain seminggu lalu dan
tidak mempunyai rekod jenayah.
Bercakap pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala
Lumpur (IPKKL) di sini, hari ini, beliau berkata Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Kuala Lumpur menggerakkan unit khasnya untuk menyiasat sama
ada mereka menganggotai kumpulan ajaran sesat.
"Siasatan mendapati kedua-dua suspek bertindak demikian berikutan
ajaran agama yang songsang. Polis sedang menyiasat sama ada suspek
anggota ajaran sesat," katanya.
Mohmad berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian itu, mereka
dihantar oleh sebuah kenderaan sebelum ditinggalkan di pekarangan JPM.
Dalam kejadian jam 2.30 petang semalam, Khalil Afandi mati ketika
dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di
tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita yang juga bekas penuntut
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan
dan dirawat di hospital sama.
Polis terpaksa melepaskan tembakan apabila usaha memujuk lelaki dan
wanita itu gagal, sebaliknya mereka yang bersenjatakan pedang samurai,
cuba menyerang polis dan merosakkan beberapa kenderaan di kawasan itu.
Mohmad menjelaskan tindakan polis terpaksa menembak kedua-dua suspek
itu sebagai langkah mempertahankan diri daripada terus diserang dan
meminta orang ramai supaya tidak mempolitikkan kejadian itu.
Mayat Khalil Afandi dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Wanita terbabit ditahan reman mulai hari ini untuk siasatan mengikut
Seksyen 307, 427 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan
Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
No comments:
Post a Comment