Tuesday 10 July 2012

Cadangan Skim Insurans Penjaja, Peniaga Kecil Dibawa Ke Kabinet Dua Minggu Lagi

KUCHING, 9 Julai (Bernama) -- Satu kertas cadangan berhubung skim insurans berkelompok penjaja dan peniaga kecil akan dikemukakan kepada kabinet dalam tempoh dua minggu lagi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya skim perlindungan insurans itu merupakan salah satu kemudahan yang sedang dirangka kementeriannya sebagai susulan pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia di Kuala Lumpur pada 27 Mei lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 12 persatuan penjaja dan peniaga kecil di sini hari ini, Ismail Sabri berkata Perdana Menteri akan mengumumkan jumlah perlindungan di bawah skim itu selepas cadangan tersebut mendapat kelulusan kabinet.

Beliau berkata kini terdapat kira-kira 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil yang mendaftarkan perniagaan mereka di negara ini dan bakal mendapat kemudahan perlindungan insurans itu.

Selain itu sebuah Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan sedang dirangka untuk ditubuhkan di samping penubuhan majlis serupa di peringkat negeri dan daerah, katanya. Ismail Sabri berkata kementeriannya juga bercadang menubuhkan sebuah tabung caruman khas untuk kategori peniaga itu selain menyediakan pelan program latihan dan kemahiran kepada mereka.

Katanya satu konvensyen nasional yang akan menjadi input kepada pelan program lima tahun penjaja dan peniaga kecil, dirancang untuk diadakan pada September tahun ini.

Mengenai perjumpaan dengan persatuan penjaja dan peniaga kecil di sini, beliau berkata ia merupakan salah satu program untuk mendengar permasalahan serta mendapatkan maklum balas daripada mereka.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment