KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Persepsi rakyat terhadap Barisan
Nasional (BN) semakin baik berbanding semasa pilihan raya umum 2008
meskipun kerap dilemparkan dengan pelbagai fitnah oleh pembangkang.
Dengan pelbagai inisiatif yang dirangka, golongan muda kini mula dapat
menilai kesungguhan kerajaan yang begitu prihatin bagi mencorakkan masa
depan negara yang lebih meyakinkan.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata
perubahan persepsi itu adalah berikutan inisiatif mentransformasikan
negara menerusi Program Transformasi Politik, Program Transformasi
Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi, membuahkan hasil dan dapat
dirasai sendiri oleh rakyat.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains
Malaysia (USM) itu berpendapat majoriti rakyat kini sedar mengenai
pelbagai program yang berbentuk sosial dan kebajikan yang dilaksanakan
kerajaan BN sehingga sukar bagi pembangkang menafikannya.
Program-program itu termasuklah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA),
Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Skim
Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia), Transformasi Kedai Runcit
(TUKAR) dan Menu Rakyat 1Malaysia yang kian dekat di hati rakyat.
Program meningkatkan taraf hidup, kebajikan dan keselesaan rakyat yang
jelas seperti inilah yang dimahukan semua rakyat, khususnya pengundi di
luar bandar. Bagi pengundi di bandar pula, selain menikmati hasil
program itu, turut menghargai ketelusan pemimpin yang mendengar masalah
mereka dan berusaha mencari penyelesaian," katanya kepada Bernama di
sini, Selasa.
Sivamurugan berkata banyak usaha dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam
setiap lawatan dan tinjauan mesra di seluruh negara untuk mendapatkan
maklum balas rakyat dan hasilnya, persepsi negatif terhadap BN telah
terhakis.
Dalam pada itu, beliau berkata meskipun pilihan raya umum ke-13 semakin
hampir, namun golongan atas pagar dilihat masih berhati-hati untuk
memilih parti mana yang mampu mewakili mereka untuk meneruskan
pembangunan dan bukannya menabur pelbagai janji kosong.
"Walaupun dalam diam, mereka menilai apa yang telah dibuat oleh
kerajaan BN dan apa juga yang telah dibuat oleh kerajaan pembangkang
sepanjang pemerintahan sejak 2008. Saya boleh mengandaikan BN boleh
mendapat balik sokongan daripada pengundi protes pada 2008," katanya.
Katanya, dengan gerak kerja berterusan Perdana Menteri dan timbalannya,
BN mampu menarik sokongan pengundi atas pagar, apatah lagi jika
kesungguhan yang sama ditunjukkan juga oleh segenap lapisan pemimpin BN.
"Memanglah sesiapapun perlu bekerja keras untuk mendapatkan undi,"
katanya sambil menambah bahawa faktor calon dan isu yang dibawa akan
memainkan peranan yang sangat penting untuk menentukan kemenangan
sesebuah parti.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia FELDA, Anuar Abd Manaf berkata
menerusi kajian sokongan yang dilaksanakan pihaknya mendapati lebih 60
peratus belia di seluruh negara kini menyokong BN.
Ini kerana persepsi buruk yang dilemparkan pembangkang kononnya
kerajaan BN zalim, menindas rakyat dan mengabaikan rakyat termasuk belia
ternyata tidak dapat mempengaruhi mereka kerana golongan belia sendiri
sudah merasai satu demi satu hasil usaha kerajaan BN, baik ke stas diri
mereka mahupun keluarga mereka, katanya.
"Contohnya dalam isu perumahan, kerajaan BN telah mengotakan janjinya
dengan melaksanakan PR1MA dan kalau kata kos kehidupan meningkat,
kerajaan beri BR1M dan KR1M untuk meringankan beban rakyat. Program ini
disyukuri oleh golongan belia terutama mereka yang berpendapatan rendah
dan sederhana.
"Ini semua tidak dinikmati golongan belia jika pembangkang memerintah.
Janji oleh pembangkang tidak dikotakan. Sekarang generasi muda mula
melihat BN sebagai kerajaan yang prihatin dan berbuat kebajikan,"
katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Beliau berkata faktor penolakan belia terhadap BN pada 2008 adalah
kerana mereka disuguh dengan pelbagai persepsi salah tentang BN, selain
faktor calon yang tidak menepati kriteria mereka dan juga program BN
yang dilihat tidak mesra belia.
Anuar berkata bagaimanapun kerajaan BN hari ini telah berubah dan mula
menunjukkan kesungguhan mendekati golongan belia dengan pelbagai cara
termasuk laman sosial facebook dan twitter selain kekerapan turun padang
oleh pemimpin BN.
"Kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang dekat di hati golongan
belia kerana telah banyak bantuan diberikan kepada golongan belia ini.
Belia hari ini juga melihat kerajaan BN adalah kerajaan yang prihatin
dan sokongan kepada BN itu telah mula nampak," katanya.
Beliau percaya pengundi muda yang merupakan lebih 40 peratus pengundi
baru cenderung menyokong BN untuk kesinambungan pembangunan, perpaduan,
kesejahteraan dan pertumbuhan ekonomi yang mewujudkan pelbagai peluang
untuk mereka membina kehidupan yang lebih baik dan masa depan yang
meyakinkan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment