KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak mengumumkan penubuhan Skim Pembiayaan Ekonomi Anggota Koperasi
1Malaysia (SPEAK1M) bagi membantu anggota koperasi melibatkan diri
dalam aktiviti perniagaan.
Beliau berkata skim itu merupakan dana pembiayaan mikro yang akan
disalur kepada koperasi untuk menjana aktiviti ekonomi anggotanya
sejajar peranan mereka sebagai satu daripada tunjang pembangunan ekonomi
negara.
Katanya, bagi meningkatkan kecekapan dan pembangunan koperasi, had
maksimum geran pembangunan bantuan asas ditambah daripada RM30,000
kepada RM50,000 bagi membantu institusi itu meningkatkan daya saing.
Selain itu, Najib mengumumkan peranan kawal selia Suruhanjaya Koperasi
Malaysia (SKM) akan dipecahkan bagi membolehkan satu badan khusus
ditubuh untuk membangunkan koperasi.
"Inilah antara tiga langkah terbaru (membangunkan koperasi) yang saya
umumkan pada malam ini, dan cadangan lain sedang kita pertimbangkan dan
mungkin kita boleh umumkan pada masa akan datang," katanya semasa
berucap pada majlis sambutan Hari Koperasi Negara di Stadium Nasional
Bukit Jalil di sini.
Seramai 60,000 anggota koperasi dari seluruh negara menghadiri sambutan
itu, yang turut disertai anggota koperasi luar negara. Mengenai
peningkatan had maksimun geran pembangunan bantuan asas, Najib berkata
langkah ini diambil kerana kebanyakan koperasi sedia ada bersaiz kecil,
kurang berdaya maju dan dianggotai masyarakat pendapatan rendah.
Beliau juga berkata bagi membantu koperasi dengan lebih berkesan,
kerajaan bercadang memisahkan peranan kawal selia SKM dalam membangunkan
koperasi yang ada di negara ini.
"Tidak sesuai kalau satu badan memainkan peranan sebagai moderator dan
di samping itu, perlu juga membangunkan gerakan koperasi... lebih
sesuai, dan kalau kedua-dua peranan itu dipisah, kita akan dapat
tentukan peranan yang lebih jelas lagi," katanya.
Perdana Menteri turut menyarankan agar koperasi kecil dapat digabung
untuk menikmati ekonomi yang boleh menjana pendapatan lebih dan
membolehkan mereka mampu berdaya saing di peringkat lebih tinggi.
"Koperasi sedia ada boleh menyediakan pekerjaan kepada rakyat Malaysia
dan boleh memberi pinjaman kredit dan juga boleh memberi peluang
perniagaan kepada mereka yang terlibat.
"Saya berharap semua ini dapat dirancang dengan baik supaya bilangan
dan juga jumlah koperasi yang dapat menjana pendapatan yang tinggi akan
terus meningkat," katanya.
Najib berkata perlaksanaan dasar transformasi negara, pelan transformasi
kerajaan dan pelan transfromasi ekonomi membolehkan ekonomi negara
berada di atas landasan yang sihat dan kukuh.
"Saya percaya gerakan koperasi boleh menyumbang kepada kekuatan ekonomi
negara, dan dengan suasana ekonomi yang memberangsangkan ini, maka sudah
tentu ia akan mewujudkan suasana yang lebih positif untuk gerakan
koperasi dan negara.
"Tidak mustahil kalau satu hari nanti gerakan koperasi di Malaysia akan menjadi contoh kepada negara lain," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment