Saturday 14 July 2012

Kedai Kain Rakyat 1Malaysia Dapat Sambutan Luar Dugaan

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Walaupun baru dirasmikan pembukaannya Sabtu, namun Kedai Kain Rakyat 1Malaysia (KKR1M) mendapat sambutan di luar dugaan sehingga ada yang mengharapkan kedai berkenaan dapat dibuka di kawasan mereka secepat mungkin.

Lokasi KKR1M yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terletak di Batu 14, Hulu Langat dekat sini, namun ramai daripada kalangan pengunjung datangnya dari kawasan lain sekitar Lembah Klang.

Najib, ketika merasmikan KKR1M yang beralamat di No 1, Jalan Lagenda Suria, Taman Lagenda Suria Batu 14 di sini berkata 30 lagi KKR1M akan dibuka seluruh negara dalam tempoh dua tahun ini.

Beliau berkata antara kain dijual di kedai itu ialah kain batik jacquard dijual dengan harga RM15 berbanding RM35 sepasang di pasaran, baju kemeja linen RM45 sehelai berbanding RM79 di pasaran serta kain satin RM40 sepasang berbanding RM50 di pasaran.

Selain keperluan pakaian, kedai itu turut menawarkan barangan lain seperti langsir, kelengkapan sekolah dan kelengkapan bersolat seperti sejadah dan songkok, katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan KKR1M Mohd Noor Mohd Amin berkata Hulu Langat dipilih sebagai lokasi pertama premis berkenaan berdasarkan faktor lokasi yang strategik dan tidak jauh dari bandar.

Beliau berkata berdasarkan kedudukan tersebut, kedai itu diyakini dapat memberi peluang kepada seluruh rakyat Selangor untuk datang membeli-belah.

"Masyarakat Hulu Langat tidak lagi perlu bersusah payah untuk ke bandar bagi mendapatkan keperluan pakaian dan ini dapat menjimatkan perbelanjaan isi rumah," katanya.

Mohd Noor berkata pembukaan KKR1M itu turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar, sekali gus menjana kepesatan ekonomi setempat dari sudut pembangunan nilai hartanah dan peniaga sekitar.

Beliau berkata lebih 100 jenis barang ditawarkan di premis tersebut termasuk kain ela, kain kurung, baju melayu dan kain langsir yang kesemuanya produk tempatan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment