Friday 13 July 2012

Najib Tidak Mahu 1Malaysia Jadi Slogan Atau Retorik Politik

HULU LANGAT, 14 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mahu gagasan 1Malaysia tinggal sebagai slogan atau retorik politik semata-mata, sebaliknya mahu ia diterjemahkan kepada sesuatu yang boleh dikecapi dan dinikmati oleh rakyat.

Perdana Menteri berkata dalam merealisasikan usaha itu, lebih banyak perkhidmatan dan produk bersandarkan 1Malaysia perlu diperkenalkan bagi membantu meringan beban kehidupan yang dihadapi rakyat pada masa kini.

"Apabila diperkenalkan perkhidmatan dan produk 1Malaysia, senarainya tiada 'noktah' cuma ada 'koma' ... tiada akhir. Namun, kita tidak sewenang-wenangnya membenarkan 'branding' 1Malaysia ini digunakan.

"Ramai yang memohon, ada yang saya setuju, ada saya tidak setuju. Apa yang penting perkhidmatan dan produk 1Malaysia mampu membantu rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Kedai Kain Rakyat 1 Malaysia (KKR1M) di sini, hari ini.

Turut hadir pada perasmian kedai itu di No 1, Jalan Lagenda Suria, Taman Lagenda Suria di sini ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar.

Pada 8 Julai lepas, semasa berucap di program Janji Ditepati di Bandar Baru Bangi, Najib mengumumkan penubuhan kedai itu sebagai satu daripada inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membantu meringankan beban rakyat.

No comments:

Post a Comment