KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Kuota minyak masak untuk pengguna
akan ditambah sebanyak 10 peratus Ramadan ini daripada kuota asal 70,000
tan metrik sebulan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob berkata penambahan itu dibuat bagi memenuhi
permintaan minyak masak yang tinggi di kalangan pengguna pada bulan
tersebut.
"Bulan puasa (Ramadan) selalunya peniaga kecil seperti peniaga pasar
Ramadan akan membeli minyak masak pengguna ini dalam kuantiti banyak.
Mereka sepatutnya membeli minyak masak bagi keperluan komersil. Ini
menyebabkan permintaan bagi minyak masak pengguna bersubsidi meningkat.
"Kita telah berbincang dengan badan pengawal kuota minyak masak ini
iaitu MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia) dan persetujuan telah dicapai
bagi penambahan kuota itu," katanya kepada pemberita di Menara
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di KL Sentral di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian
persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Maktab
Koperasi Malaysia (MKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad
(Angkasa) bagi menyelaras gerak kerja tiga badan itu untuk memperkasa
gerakan koperasi di negara ini.
Perjanjian itu ditandatangani Pengerusi Eksekutif SKM Datuk Yusof
Samsudin, Ketua Pengarah MKM Idris Ismail dan Presiden Angkasa Prof
Datuk Dr Mohd Ali Baharum.
Ismail Sabri berkata kementerian juga akan memantau barangan lain yang
akan mendapat permintaan yang tinggi pada bulan Ramadan seperti telur,
ayam dan kelapa bagi memastikan barangan itu cukup di pasaran.
"Sememangnya harga akan naik kerana permintaan tinggi, tetapi kita akan
pastikan harga barangan itu tidak membebankan pengguna," katanya.
Sementara itu, beliau berkata Malaysia sedang dalam usaha untuk
bekerjasama dengan negara Asean yang lain bagi membentuk sebuah
persatuan yang menyelaras aktiviti koperasi di rantau ini.
"Minggu lepas kabinet telah meluluskan draf MoU bagi kerjasama ini yang
melibatkan Brunei, Vietnam, Indonesia dan Timur Leste. Anggota koperasi
di seluruh negara Asean berjumlah 75 juta, kita perlu manfaatkan
rantaian ini sepenuhnya," katanya.
Mengenai isu Suara Rakyat Malaysia (Suaram) didakwa tidak berdaftar
dengan Pendaftar Pertubuhan, Ismail Sabri berkata Suruhanjaya Syarikat
Malaysia (SSM) telah melanjutkan tempoh penyerahan dokumen Suara
Inisiatif Sdn Bhd, syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan Suaram,
selama tujuh hari lagi bermula hari ini.
"Pagi ini pengarah dan setiausaha syarikat itu telah datang ke SSM
memohon untuk melanjutkan tempoh serahan dokumen dengan alasan mereka
nak 'kumpul semua dokumen' kerana dokumen mereka tidak lengkap.
"Kita (SSM) dianggap jahat oleh mereka, namun kita berlaku adil kepada
mereka dengan memberi tempoh lanjutan. Saya tidak tahu siapa yang jahat
sekarang," katanya.
Pada 6 Julai lepas, Suara Inisiatif Sdn Bhd telah diberi tempoh tujuh
hari oleh SSM untuk mengemukakan dokumen relevan mengenai syarikat
tersebut.
Pada 1 Julai lepas, Presiden Jaringan Melayu Malaysia Azwanddin Hamzah
mendakwa Suaram tidak didaftar sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO)
di bawah Pendaftar Pertubuhan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment