Datuk Noharuddin Nordin. |
Pembukaan rasmi ibu pejabat korporat MIDA dan pelancaran logo barunya, telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur Sentral semalam.
"Tidak seperti peranan kami sebelum tahun 2004 yang hanya memberi tumpuan dalam menggalakkan pembangunan industri pembuatan, MIDA kini menggalakkan sektor-sektor pembuatan dan perkhidmatan serta mahu membawa bersama pelaburan nilai tambah tinggi ke negara kita," kata Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Noharuddin Nordin.
"Kita sedang menggiatkan usaha dalam menarik pelaburan, dalam bidang pertumbuhan baru dan teknologi baru muncul, industri-industri nilai tambah tinggi, serta industri berintensif modal dan pengetahuan," kata beliau kepada Bernama.
"Pada masa ini, adalah tidak mencukupi untuk memberitahu pelabur bahawa Malaysia adalah negara yang hebat, tetapi kita perlu menunjukkan fakta dan angka untuk membuktikan kepada mereka bahawa dengan menjalankan perniagaan di Malaysia akan menguntungkan," kata beliau.
Oleh itu katanya, dengan penjenamaan semula MIDA, agensi ini juga telah membuat pelaburan yang besar untuk latihan dan pembangunan bagi pekerja, untuk memastikan yang mereka bersedia dan mampu untuk mempromosikan Malaysia kepada para pelabur.
Mengenai pertumbuhan ekonomi global yang perlahan dan keupayaan MIDA untuk menarik lebih banyak syarikat asing melabur di Malaysia, Noharuddin berkata: "Bukti menunjukkan bahawa sungguhpun ketidaktentuan ini, minat syarikat-syarikat asing terhadap Malaysia masih berkembang kukuh. "
"Salah satu sebab ialah Malaysia mempunyai asas-asas yang sangat kuat dalam konteks menggalakkan pelaburan untuk pelabur-pelabur asing menggunakan Malaysia sebagai pintu masuk ke Asia," katanya.
"Pelabur-pelabur biasanya melabur untuk masa depan, walaupun pasaran global sekarang agak perlahan, tetapi syarikat melabur hari ini disebabkan oleh jangkaan pemulihan masa depan.
"Jadi, itulah yang kita harapkan sekarang ini, tetapi pada masa yang sama kita perlu mengekalkan dan meningkatkan asas," kata beliau.
Sementara itu, Noharuddin juga menyatakan yang Malaysia telah menarik minat bukan sahaja dari sumber-sumber pelaburan tradisional seperti Amerika Syarikat, Jepun dan negara-negara tertentu di Eropah, seperti Jerman dan United Kingdom tetapi juga dari pasaran bukan tradisional.
"Kita kini semakin mendapat minat dari Turki, Perancis, Itali, dan Sepanyol... negara-negara yang tidak terdapat dalam senarai utama sumber pelaburan kita," kata beliau.
Sebagai contoh, beliau berkata, sebuah syarikat dari Turki baru-baru ini telah melabur RM400 juta di Johor bagi pembuatan produk kosmetik, dengan hanya 180 pekerja.
"Ini mencerminkan tahap pelaburan teknologi tinggi yang datang dan juga kelebihan pelaburan ini adalah 95 peratus produk akan dieksport, oleh itu tidak ada isu bagi syarikat itu bersaing dengan syarikat tempatan," katanya.
Beliau berkata bagi tahun lepas, jumlah pelaburan yang diluluskan di Malaysia berjumlah RM148.6 bilion dan angka itu melebihi sasaran purata pelaburan tahunan sebanyak RM115 bilion yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 sebanyak 29.2 peratus.
Ini merupakan satu pencapaian penting dalam tahun pertama rancangan pelancaran Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan menunjukkan bahawa Malaysia pada kedudukan yang tepat untuk mencapai sasaran pelaburan yang ditetapkan di bawah ETP menjelang 2020 yang bakal mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, katanya.
Noharuddin berkata kejayaan Malaysia dalam menarik pelaburan dalam tempoh sedekad yang lalu bukan hanya daripada kejayaan MIDA sendiri tetapi juga daripada sektor awam dan swasta yang turut menyumbang kepada pencapaian ini.
"Kekuatan Malaysia terletak kepada infrastruktur yang hebat, tenaga kerja berpendidikan, sistem kewangan canggih dan kerajaan yang stabil dengan dasar yang jelas. Melalui semua faktor ini, apa yang MIDA perlu lakukan adalah untuk menyatukannya dan mengemukakannya kepada pelabur asing," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment