KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Projek pemprosesan nadir bumi milik
Syarikat Lynas Corporation Ltd di Gebeng, Pahang tidak menunjukkan
wujudnya masalah dari segi teknikal, kata Ketua Pegawai Eksekutif
Akademi Sains Malaysia (ASM) Dr Ahmad Ibrahim pada Rabu.
Beliau berkata tiada halangan mahupun sebab utama mengapa kerja-kerja
pemprosesan nadir bumi tidak boleh dijalankan di negara ini kerana dari
segi teknikal kilang Lynas akan menggunakan teknologi semasa.
"Hasil kajian ASM mendapati tiada masalah dari segi teknikal untuk
Lynas beroperasi kerana sumber yang akan diproses dari China dan
Australia nanti adalah sumber yang sama yang diproses oleh kilang
berusia hampir 50 tahun di Perancis.
"Bayangkan kilang yang hampir 50 tahun beroperasi di bandar pelancongan
La Rochelle di Perancis itu masih utuh dan diakui selamat, inikan pula
kilang di Gebeng itu yang menggunakan teknologi semasa," katanya kepada
Bernama selepas diwawancara dalam rancangan terbitan Radio 24 di Wisma
Bernama.
La Rochelle milik Kumpulan France's Rhodia adalah pelopor dalam
perniagaan nadir bumi bagi Perancis di mana ia adalah satu-satunya
syarikat perindustrian bersepadu yang menjalankan operasi pembuatan dan
bekalan bahan mentah seperti kilang nadir bumi di China.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment