KUALA LUMPUR: Lynas Corporation Limited dan Lynas Malaysia Sdn Bhd hari ini menarik balik saman selepas pengendali portal berita 'Free Malaysia Today (FMT)', MToday News memohon maaf kepada Lynas atas penyiaran artikel memfitnah yang disiarkan dalam laman webnya.
Penyelesaian saman itu direkod di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nor Bee Ariffin.
"Mahkamah juga membuat keputusan itu tanpa perintah untuk membayar kos, tiada bayaran kerosakan dan tiga artikel terlibat perlu dikeluarkan dari (laman web) FMT," katanya.
Pada 17 Julai, MToday menyiarkan permohonan maaf di laman webnya www.freemalaysiatoday.com atas penyiaran tiga artikel yang yang mendakwa Loji Lynas mungkin tidak selamat untuk orang ramai.
"Kami meminta maaf atas penyiaran itu memandangkan dakwaan semumpama itu tidak mempunyai asas saintifik," kata kenyataan permohonan maaf itu.
Pada 19 April lalu, Lynas Corporation of Sydney, Australia dan Lynas Malaysia memfailkan saman terhadap MToday News, kerana menyiarkan artikel berunsur fitnah dalam laman webnya pada 6 Mac lalu.
Dalam saman itu, Lynas memohon ganti rugi am dan ganti rugi teruk, kos dan injunksi bagi menghalang Mtoday News daripada terus menerbitkan artikel memfitnah mengenai Lynas.
Peguam Rishwant Singh mewakili Lynas. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment