Tuesday 31 July 2012

KPDNKK Pantau CD Dan Lagu Raya Cetak Rompak

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mempertingkat pemantauan aktiviti penjualan cakera padat (CD) cetak rompak dan video klip popular lagu-lagu raya sempena musim perayaan kali ini.



Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata lazimnya permintaan terhadap lagu-lagu raya meningkat setiap kali menjelang Aidilfitri khususnya lagu popular pada era 50-an sehingga tahun 1990 yang sering dicetak rompak.

"Antaranya ialah lagu-lagu nyanyian Allahyarham P. Ramlee, Saloma, Sanisah Huri, Hail Amir, Uji Rashid, Sudirman Arshad, M. Nasir, Siti Nurhaliza dan ramai lagi.

"Bagaimanapun usaha membanteras cetak rompak cakera padat itu sukar dilakukan kerana penjualannya bukan dibuat di premis tetap, tetapi bergerak secara individu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek 'durian runtuh' kepada 546 isteri peneroka Felda Bukit Kepayang, dekat sini, Isnin.

Jelas beliau bagi membanteras aktiviti memuat turun lagu dan filem dari internet, penerbit dan pemegang hak cipta perlu membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Bagaimanapun, usaha itu sukar dibanteras kerana tidak mendapat kerjasama sepenuhnya penerbit dan pemegang hak cipta," katanya sambil menambah sekiranya aduan diterima, SKMM boleh mengambil tindakan menyekat laman web berkenaan.

Pihak yang melakukan perbuatan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM2,000 bagi setiap keping CD cetak rompak sehingga maksimum RM20,000, katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment