Tuesday 24 July 2012

KKLW lancar Cabaran Perniagaan Luar Bandar

PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah melancarkan program Rural Business Challenge (RBC) atau Cabaran Perniagaan Luar Bandar iaitu satu pertandingan untuk mendorong belia Malaysia memajukan perniagaan di kawasan luar bandar.
Program tersebut merupakan satu usaha sama dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dan berada di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara  (NKRA) untuk Meningkatkan Pembangunan Luar Bandar di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Terbuka kepada belia Malaysia berusia 18 hingga 40 tahun, matlamat pertandingan itu adalah untuk memberi peluang kepada belia merangka pelan perniagaan yang akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pendapatan penduduk kampung dalam kawasan luar bandar.
Pelan perniagaan yang dicadangkan perlu menangani satu daripada empat kategori, iaitu pertanian, perkhidmatan, perkilangan dan pelancongan luar bandar.
Pertandingan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Kampung Abad Ke-21 di bawah NKRA Pembangunan Luar Bandar yang memberi fokus kepada pelan jangka panjang kerajaan untuk mengubah trend penghijrahan dari luar bandar ke kawasan bandar.
“Pertandingan itu adalah sebahagian daripada strategi untuk membentuk satu dasar menyeluruh yang akan menggalakkan golongan muda untuk kembali ke kampung dan mencari pekerjaan yang bergaji baik dan peluang perniagaan yang realistik.
“Di bawah konsep Kampung Abad Ke-21, kami mahu memperbaiki prasarana di kampung, mewujudkan persekitaran yang kondusif dan memperkasakan penduduk selain menyediakan akses kepada peluang pekerjaan yang sama bagi penduduk luar bandar.
“Dalam jangka panjang, kami mahu mengubah trend di mana generasi muda dari kampung pergi ke bandar raya untuk mencari pekerjaan dan membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar,” kata Ketua Setiausaha KKLW Datuk Ibrahim Muhamad.
Pertandingan itu dianjurkan berdasarkan kriteria yang mesti dipenuhi peserta.
Perniagaan itu mesti beroperasi di atas tanah yang terletak dalam kawasan luar bandar di Malaysia.
Individu, kumpulan, perusahaan dan syarikat swasta dipelawa menyertai pertandingan berkenaan.
Perniagaan itu mesti mengambil rakyat Malaysia yang tinggal di kampung dalam kawasan luar bandar sahaja dan menunjukkan keupayaan untuk meningkatkan ekonomi tempatan.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan daripada http://www.rurallink.gov.my/rbc dan mengemukakan permohonan mereka kepada Sekretariat RBC, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Aras 19, No 47, Persiaran Perdana, Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62100 Putrajaya MALAYSIA.
Tarikh akhir untuk mengemukakan penyertaan adalah 3 Ogos.
Pemenang akan diberi bantuan kewangan antara RM500,000 hingga RM2 juta untuk melaksanakan pelan perniagaan mereka.
Dato’ Ibrahim menambah, pertandingan ini memberi peluang unik kepada belia untuk mengambil bahagian sebagai rakan aktif dalam usaha kerajaan memajukan keusahawanan dengan peluang pekerjaan luar bandar yang mapan.
Ia seterusnya akan meningkatkan keupayaan membina kekayaan di kampung-kampung yang seterusnya akan menguntungkan semua rakyat.
Untuk sebarang pertanyaan, mereka yang berminat boleh menghubungi Setiausaha Bahagian Pengupayaan Ekonomi, Zazali Salehudin di talian Sekretariat RBC 03-8891 5607/5622/5636 atau emel ke rbcsekretariat@rurallink.gov.my.

No comments:

Post a Comment