KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kenaikan taraf hidup yang meningkat
pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) empat peratus sejak 1993
mendorong kerajaan terus menambah produk baru melalui label 1Malaysia
bagi mengurangkan beban rakyat.
Pengarah Khas Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk
Aziyah Bahauddin berkata produk yang diperkenalkan di bawah 1Malaysia
sehingga ke hari ini terus mendapat sambutan dan kemudahan yang
disediakan juga terus bertambah.
"Sebagai contoh, pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) menuju sasaran
85 buah kedai menjelang Disember ini. Sekarang berjumlah 48 buah dan 19
lagi kedai baru dibuka pada bulan Julai," katanya ketika memberi
taklimat kepada pengunjung Hari Terbuka Pelan Tindakan 2.0 Program
Transformasi Negara (GTP) di sini pada Selasa.
Lebih 5,000 orang yang menghadiri hari terbuka itu berpeluang
mengemukakan pandangan mengenai keberkesanan pelan transformasi kerajaan
di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Aziyah berkata sungguhpun barangan di kedai KR1M dijual pada kadar 40
peratus lebih murah daripada harga biasa, namun ia merupakan bahan yang
bermutu.
Mengenai menu 1Malaysia, beliau berkata walaupun ada beberapa perbezaan
harga barang dan makanan di antara Semenanjung dengan Sabah dan
Sarawak, ia disebabkan kos pengangkutan dan merupakan perkara biasa.
Aziyah berkata kedai dan restoran yang terlibat dalam Menu Rakyat
1Malaysia semakin bertambah dan menjelang hujung tahun, dijangka
mencecah sehingga 3,000 berbanding sekarang 2,400 buah.
Sementara bagi Klinik 1Malaysia pula, beliau berkata seramai 4.6 juta
orang telah mendapat rawatan di klinik berkenaan yang mengenakan bayaran
RM1 sejak dilancarkan Perdana Menteri dua tahun lepas.
Menurut beliau, kerajaan juga membantu mengurangkan kos hidup rakyat
melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kebajikan Rakyat
1Malaysia (KAR1SMA), bantuan persekolahan RM100 serta Baucer Bantuan
Buku 1Malaysia untuk 1.3 juta pelajar universiti melibatkan kos RM553
juta.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment