Wednesday 25 July 2012

Janji Pembangkang Turunkan Harga Kereta Hanya Janji Untuk Raih Undi

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Janji pakatan pembangkang untuk menurunkan harga kereta merupakan satu janji yang dibuat semata-mata bertujuan menarik populariti dan meraih undi walaupun sebenarnya ia tidak akan dilaksanakan oleh pembangkang, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Katanya penghapusan cukai untuk kereta akan mengurangkan cukai negara sebanyak RM4.6 bilion setahun.

"Tidak mengapa, kita boleh korbankan RM4.6 bilion daripada segi cukai tapi kalau kita tambah pula dengan janji-janji untuk hapuskan tol, untuk dapatkan pendidikan percuma, janji royalti minyak tambahan ke Sabah dan Sarawak, janji untuk hapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, janji nak bagi gaji minimum RM4,000 setiap keluarga, semua janji ini akan bankrapkan negara kita," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di sini Rabu.

Beliau berpendapat kesan kepada janji-janji "mudah" pembangkang itu adalah implikasi terhadap kedudukan kewangan negara dan pembangkang juga tidak menyatakan bagaimana mereka mahu membiayai janji-janji berkenaan.

Sikap pembangkang ini, katanya sangat berlawanan dengan hasrat kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang mahu melihat rakyat menggunakan lebih banyak pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment