Monday 23 July 2012

Kekalkan Perpaduan Elak Kemajuan Negara Tergugat, Ambil Iktibar Sri Lanka

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Pertelingkahan dalaman, perbezaan idealogi dan pertentangan pendapat dalam negara perlu dikawal agar ia tidak melarat sehingga mampu mencetuskan huru-hara dan menjejaskan keharmonian perpaduan yang berlaku, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Dalam hal ini, beliau menjadikan Sri Lanka sebagai satu iktibar terbaik kepada rakyat Malaysia untuk melihat bagaimana sebuah negara yang dahulunya amat makmur dan maju sehingga menjadi sebuah kerajaan interport hebat di rantau ini tetapi kini telah mundur dan jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Malaysia sendiri.
“Suatu ketika dulu Sri Lanka yang dikenali sebagai Ceylon berjaya ke arah kemajuan dan lebih baik dari Malaysia tetapi realiti hari ini jauh berbeza kerana tidak ada persefahaman dalam masayarakatnya hingga wujudnya pelbagai pergolakan dan Sri Lanka tertinggal jauh di belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat dari Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malayasia H.E K. Godage di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, hari ini.
“Pergolakan akibat pertelingkahan politik telah menular kepada perpecahan dan pergaduhan ekoran daripada tidak ada persefahaman dan perpaduan yang telah menjadikan Sri Lanka jauh ketinggalan dari aspek pembangunan sama ada di rantau ini dan juga di peringkat antarabangsa.
“Sri Lanka pernah menjadi antara penghubung laut yang sangat strategik antara Asia Barat dan Asia Tenggara namun akibat huru-hara dan kekacauan yang berlaku telah mengakibatkan ramai para pedagang, pengusaha dan pelabur beralih arah dan berhijrah ke tempat lain.
“Keadaan ini tidak mustahil untuk berlaku dalam negara kita sekiranya kita tidak mememlihara kesejahteraan dan menghargai perpaduan apatah lagi bukti jelas telah dilihat sebagaimana iktibar yang kita boleh ambil dari Sri Lanka,” tegasnya lagi.
Dalam kunjungan tersebut, Godage mengharapkan Malaysia untuk membantu pembangunan negaranya dan kembali menjadi sebuah negara yang disegani dari aspek ekonomi dan perdagangan.
“Kejayaan Malaysia perlu diteruskan kerana pergolakan yang berlaku akan mengundang musibah dan merencatkan perancangan kemajuan yang telah digariskan apatah lagi untuk mencapai Wawasan 2020.”
Pergolakan dalaman di Sri Lanka telah berlarutan menyaksikan krisis di antara kerajaan dan pihak pemisah Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) selain perpecahan etnik dan perpaduan meruncing yang gagal ditangani. - MediaUMNO

No comments:

Post a Comment