KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Penyertaan 300 gerai koperasi pada
Ekspo Hari Koperasi Negara (HKN) 2012 di pekarangan Stadium Nasional
Bukit Jalil, yang bermula semalam, menunjukkan badan itu semakin serius
meneroka peluang baru, terutama dalam bidang perniagaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob berkata perkembangan positif ini mampu menjadi medan
penting kepada koperasi untuk kekal berdaya saing dan memberi manfaat
kepada anggotanya.
"Jika dilihat pada sambutan yang sama tahun lepas, kita jemput syarikat
yang bukan dari bidang koperasi untuk menjadi pempamer kerana jumlah
koperasi yang terhad.
"Tetapi pada tahun ini, semua gerai yang dibuka adalah seratus peratus
terdiri daripada koperasi seluruh negara, termasuk penyertaan beberapa
koperasi dari negara Asean," katanya selepas menyampaikan anugerah
kepada 12 koperasi cemerlang sempena sambutan HKN ke-11 hari ini.
Antara anugerah yang disampaikan ialah Koperasi Sekolah Terbaik bagi
sekolah harian (Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Temin, Jerantut
Berhad dari Pahang), Koperasi Sekolah Terbaik bagi sekolah berasrama
(Koperasi Maktab Rendah Sains Mara Kuala Krai Berhad dari Kelantan) dan
Anugerah Tunas Harapan (Koperasi Shirdi Sai Baba Malaysia Berhad).
Ismail Sabri berkata HKN merupakan platform penting kepada anggota
koperasi untuk bertemu dan bertukar idea bagi mengembangkan koperasi
masing-masing, medan mempromosi konsep serta produk selain menjadi wadah
untuk memperlihat perkembangan koperasi kepada orang ramai.
Mengenai perkembangan kerjasama dengan lima negara Asean dalam bidang
koperasi, beliau berkata perjanjian persefahaman dijangka ditandatangani
pada tahun ini.
"Sepatutnya wakil Indonesia ada bersama kita juga hari ini untuk
menandatangani perjanjian, tetapi oleh kerana hari koperasi ini turut
disambut di peringkat antarabangsa, dan negara jiran itu turut
meraikannya, jadi kita terpaksa tangguhkan dan tunggu masa lain yang
sesuai," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment