Tokoh-tokoh kartunis veteran negara menasihatkan para seniman dan
kartunis tidak mencampuradukkan perjuangan politik dalam karya kerana
dibimbangi memberi mesej negatif kepada pembaca.
Jaafar Taib yang juga salah seorang pelopor majalah Gila-Gila
berkata, kartun sepatutnya dijadikan wadah ilmu bukannya digunakan untuk
mengutuk pemimpin.
“Kartunis sepatutnya berkarya untuk menyampaikan perkara-perkara yang
positif. Bila ia digunakan kepada perkara negatif seperti menghina
kerajaan dan pemimpin, ia ditakuti akan mengelirukan pemikiran pembaca
terutamanya kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam bersama penerima
Anugerah Khas Penggiat Kartun dan Penganjur Program Pameran Kartun dan
Animasi 1Malaysia di sini malam tadi.
Majlis anjuran Konsortium Cartoonist At Work dan Kelab Putera
1Malaysia itu memberikan anugerah kepada 10 tokoh kartunis antaranya
Datuk Dr. Mohd. Nor Khalid (Datuk Lat); Hassan Abd. Muthalib; Zainal
Buang Hussin; Kamn Ismail; Prof. Dr. Muliyadi Mahamood; Tan Sri Lim Kok
Wing; Reggie Lee; Margaret Chelatora dan Abdul Jamil Ahmad.
Jaafar mengulas kelantangan kartunis Zunar atau nama sebenarnya
Zulkiflee Anwar Ulhaque dalam penghasilan karya yang mengutuk kerajaan
serta tindakannya menolak anugerah yang disampaikan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak pada Program Pameran Kartun dan Animasi
1Malaysia di Pasar Seni, Kuala Lumpur, 24 Jun lalu.
Sementara itu, pencetus revolusi kartun, Mior Sariman Mior Hassan
atau lebih popular dengan nama Mishar berkata, golongan kartunis tidak
sewajarnya mencemarkan industri tersebut dengan penghasilan karya yang
menyinggung orang lain meskipun mereka bebas memilih parti politik
masing-masing.
“Saya faham perjuangan politik Zunar, namun menggunakan kartun
sebagai platform menyinggung hati orang lain terutamanya pemimpin adalah
tidak elok.
“Lebih baik hasilkan karya yang boleh menjadi pemangkin kepada kemajuan negara,” katanya. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment