Tuesday, 24 July 2012

JKM sediakan bantuan RM 10juta untuk bantu keluarga miskin.

KULIM - Lebih 23,500 keluarga berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan memperoleh kemudahan bantuan melalui Program Teman 1Azam dengan peruntukan RM10 juta setakat ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kie, berkata mereka adalah kalangan penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui program yang dimulakan sejak 2010 dengan peruntukan RM240 juta.


“Mereka daripada keluarga berpendapatan rendah, diberi kemudahan bantuan menyertai program Teman 1 AZAM yang ditawarkan Kementerian dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan keluarga miskin di negara ini.


“Antara pakej berkenaan termasuk Pakej Melur (Makanan Sejuk Beku), Pakej Cempaka (Pembuatan Kuih), Pakej Kemboja (Gerai Buah-Buahan), Pakej Mawar (Perniagaan Ice Blended) dan beberapa pakej lagi yang sesuai dengan minat mereka,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas majlis sumbangan mesin jahit kepada penerima bantuan Teman Akhiri Zaman Miskin (1Azam) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Badlishah, di sini, semalam.


Seai Kie berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu wanita terbabit memulakan atau mengembangkan lagi usaha mereka dalam bidang jahitan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan mereka.


“Kali ini semua penerima bantuan diberi latihan menggunakan mesin jahit oleh wakil syarikat pembekal dalam masa tiga hari untuk memastikan mereka faham serta mahir menggunakan mesin itu nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment