KUALA LUMPUR 21 Jun - Peneroka Felda tidak pernah dipaksa untuk menandatangani borang pembiayaan kewangan bagi membeli saham Felda Global Ventures Holdings (FGV), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.
Beliau
berkata, sesi penerangan dijalankan di setiap pejabat rancangan Felda
mulai 24 April 2012 berkenaan proses langganan saham FGV, keperluan,
kelebihan, risiko serta terma-terma pembiayaan kewangan yang diperinci
oleh setiap wakil bank yang dilantik.
Ahmad
berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Mohd. Nasir
Zakaria (Pas-Padang Terap) yang bertanya mengapa peneroka seolah-olah
dipaksa menandatangani borang berkenaan, yang kebanyakannya dalam Bahasa
Inggeris dan kurang difahami oleh peneroka.
Menjawab
soalan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pas-Pendang) mengenai sumber dana
untuk pemberian durian runtuh kepada peneroka, Ahmad berkata, bagi fasa
pertama pembayaran duit durian runtuh itu dibiayai oleh Felda dengan
menggunakan dana dalaman sementara menerima imbuhan melalui penjualan
saham di FGV yang perlu disalur kepada Felda selewatnya akhir bulan
depan.
"Pembayaran
bagi fasa kedua dan ketiga pula menggunakan wang imbuhan yang akan
diterima daripada FGV yang dijangka akan mula dibayar pada Julai 2012.
"Pembayaran
bagi fasa pertama sebanyak RM5,000 telah pun selesai dibayar pada Mei
lepas. Secara keseluruhannya, Felda memperuntukkan RM1.69 bilion bagi
tujuan pemberian durian runtuh ini," katanya dalam jawapan bertulis itu.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment