Saturday 30 June 2012

MyIPO Sedia Bincang Dengan Indonesia Berhubung Isu Hak Budaya Bersama

SADONG JAYA (SARAWAK), 30 Jun (Bernama) -- Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sedia berbincang dengan agensi berwajib Indonesia berhubung beberapa isu dan tuntutan hak budaya yang sering menimbulkan pertelagahan pengiat industri seni dari kedua-dua negara itu.

Ahli lembaga MyIPO Nancy Shukri berkata kekurangan pengetahuan berhubung seni dan budaya serta asal usul sesuatu masyarakat menjadi antara faktor berlakunya tuntutan bertindih terhadap hak milik warisan budaya itu.

"MyIPO sedia berbincang dengan pihak di Indonesia berhubung isu budaya dan seni kerana kita tidak nafikan berlakunya penghijrahan penduduk dari negara itu ke Malaysia (sebelum Merdeka) sehingga budaya negara itu berkembang di sini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Harta Intelek Bersama Pemimpin dan Rakyat di sini.

Beliau berkata MyIPO telahpun berjumpa dengan kira-kira 1,000 artis dan pengiat seni tempatan untuk berbincang tentang perkara yang perlu diambil perhatian dalam menjaga hak seni budaya tempatan negara.

Menurutnya masih banyak lagi seni budaya tempatan seperti lagu rakyat dan tarian tradisional serta seni mempertahankan diri yang belum didaftarkan dengan MyIPO.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment