KUALA LUMPUR 19 Jun - Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Projek Lynas
Advanced Materials Plant (LAMP) hari ini merumuskan yang projek tersebut
tidak merbahaya kepada orang ramai seperti yang didakwa oleh
pembangkang.
Pengerusi Jawatankuasa, Datuk Seri Khaled Nordin ketika membentangkan
usul laporan memberitahu bahawa bersandarkan dapatan dan fakta
saintifik, takrifan undang-undang dan pendapat pakar, Projek LAMP adalah
merupakan kilang pemprosesan kimia yang menghasilkan nadir bumi dan
bukannya loji nuklear ataupun suatu aktiviti perlombongan.
Menurutnya lagi, jawatankuasa berpandangan bahawa operasi Projek LAMP
akan menggunakan teknologi termaju dan mempunyai kepakaran yang
berwibawa untuk mematuhi semua obligasi standard.
"Setelah meneliti, merujuk dan membahaskan dengan terperinci semua
pandangan yang dikemukakan, Jawatankuasa telah merumuskan bahawa
kelangsungan Projek LAMP hanya boleh disandarkan dengan dapatan
saintifik.
"Jawatankuasa berpandangan bahawa tanpa alasan saintifik, maka
kebenaran yang sebenar dan pertimbangan rasional akan dipolemik dan
dikesampingkan," kata Khalid yang juga Menteri Pengajian Tinggi.
Menurutnya lagi, Projek LAMP telah memenuhi dan mematuhi keperluan
standard dan perundangan di Malaysia yang setaraf dengan amalan dan
standard antarabangsa.
Malahan katanya, terdapat peruntukan undang-undang dan standard yang
dikenakan ke atas Projek LAMP adalah lebih ketat berbanding amalan
standard antarabangsa.
"Jawatankuasa berkeyakinan bahawa Projek LAMP telah menyediakan sistem
kawalan yang diperlukan seperti yang telah ditetapkan di dalam
perundangan kebangsaan dan standard antarabangsa bagi memastikan
keselamatan dan kesihatan awam serta perlindungan alam sekitar tidak
terjejas atau dikompromi bagi membolehkan kilang mula beroperasi secara
sementara," katanya.
Menurutnya lagi, Jawatankuasa mengesyorkan agar Lesen Kelas A
(Mengilang Peringkat Pengendalian Sementara) atau (Temporary Operating
License - TOL) dikeluarkan supaya Projek LAMP dapat mengilang bahan
mentah pekatan lantanid secara berperingkat dan terhad serta
dikawalselia secara berterusan oleh agensi penguatkuasa.
"Di peringkat ini, LAMP perlu mematuhi kesemua syarat-syarat lesen yang
lazim dan syarat-syarat tambahan yang dikenakan di dalam lesen TOL ini.
Selain itu, Khalid turut menambah yang Jawatankuasa mengesyorkan satu
Jawatankuasa Pemantauan (monitoring committee) dibentuk secara khusus
bagi memantau secara berterusan operasi Projek LAMP.
Menurut beliau, Jawatankuasa ini hendaklah dianggotai oleh
agensi-agensi berkaitan serta penglibatan Badan-badan Bukan Kerajaan dan
pakar bertauliah.
Khalid turut menegaskan bahawa semua persoalan yang telah dikemukakan
telah dirujuk kepada kumpulan pakar untuk mendapatkan penjelasan
saintifik.
No comments:
Post a Comment