KUALA LUMPUR, 26 Jun – Seramai 210,675 bekas tentera di seluruh
negara tidak mendapat pencen kerana mereka menamatkan perkhidmatan lebih
awal daripada yang ditetapkan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari
ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
sungguhpun begitu, kebajikan mereka tetap diberi perhatian oleh
kementerian menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera
Malaysia(JHEV) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera
(Perhebat).
JHEV dan Perhebat menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada veteran
tentera yang bersara kurang daripada 21 tahun perkhidmatan untuk
meringankan kos sara hidup mereka seperti skim bantuan kebajikan dan
pendidikan serta bantuan sara hidup, katanya menjadao soalan Datuk
Johari Abdul (PKR-Sungai Petani), di sini.
“Justeru kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan kupon makanan
bulanan kepada bekas tentera yang tidak mendapat pencen kerana apa yang
kita berikan ini jauh lebih baik kerana ia merupakan bantuan yang
bersifat jangka panjang daripada pemberian kupon makanan yang bersifat
sementara,” katanya.
Ahmad Zahid berkata bantuan yang diberi kerajaan kepada pesara
tentera di negara ini juga jauh lebih baik jika dibanding dengan
beberapa negara lain.
“Secara perbandingan Amerika Syarikat dan Australia hanya memberikan
bantuan kepada pesara tentera itu sahaja dan bukan kepada isteri atau
anak-anak mereka,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Ahmad Zahid
berkata kerajaan juga tidak bercadang memberi pembayaran sekali gus atau
“one off payment” kepada pesara tentera.
Ini kerana katanya tindakan itu juga bersifat sementara berbanding bantuan berterusan yang disediakan kepada mereka ketika ini.
Dalam pada itu Ahmad Zahid turut memberi amaran kepada pihak tertentu
yang beliau anggap sebagai “tangan-tangan kotor” supaya tidak menghasut
bekas tentera agar memberi tekanan kepada kerajaan.
“Tangan-tangan kotor itu telah wujud di Dewan ini…jangan guna
kesempatan di waktu hampir pilihan raya untuk pujuk bekas tentera supaya
tidak puas hati dengan kerajaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment