SEREMBAN 29 Jun - Bakal usahawan perlu berani
menceburi perniagaan francais khususnya berskala kecil walaupun
berhadapan kekangan modal.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk
Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana masih wujud tanggapan
kononnya perniagaan tersebut hanya dipelopori golongan peniaga dengan
modal permulaan yang besar.
"Ingin saya tegaskan persepsi itu sama sekali tidak benar dan perlu
dikikis kerana perniagaan francais di negara ini sudah berkembang dan
kita mempunyai pelbagai sistem serta jenama termasuk francais mikro yang
boleh diceburi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
"Malah, kerajaan juga membangunkan sistem francais tempatan selain
mewujudkan saluran pinjaman dan pembiayaan khas kepada individu
berpendapatan rendah dan sederhana untuk menyertai bidang francais mikro
yang berisiko rendah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Francais Komuniti 2012 Peringkat Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Jelas beliau, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM8 juta di
bawah Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF) yang menawarkan pinjaman mikro
untuk memulakan perniagaan francais yang tidak melebihi modal RM50,000.
Katanya, ia adalah bukti komitmen kerajaan dalam membantu rakyat yang
ingin bergelar usahawan menceburi bidang perniagaan francais yang
semakin berkembang di negara ini.
"Melalui SPKF ini mereka hanya mengeluarkan modal sebanyak 10 peratus daripada pakej francais yang ingin diceburi.
"Sebagai contoh, jika modal permulaannya adalah sebanyak RM15,000,
maka pemohon hanya perlu mengeluarkan RM1,500 untuk menyertai francais
pilihan mereka," ujarnya.
Ismail Sabri berkata, syarat dan kriteria untuk memohon amat mudah
yang mana ia tidak memerlukan sebarang cagaran atau penjamin daripada
pemohon yang berminat untuk menceburi perniagaan francais mikro.
Beliau memberitahu, pertumbuhan perniagaan francais di negara ini
semakin meningkat dengan sebanyak 68 peratus francais baru didaftarkan
sehingga kini membabitkan pelbagai bidang perniagaan.
"Sehingga 25 Jun lalu, kita sudah mempunyai 615 sistem atau jenama francais yang berdaftar melibatkan 5,473 francaisi.
"Perkembangan ini dijangka mempengaruhi peningkatan sumbangan
perniagaan francais terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang
mencatatkan RM21.48 bilion pada kadar 2.5 peratus tahun lalu kepada
RM22.5 bilion tahun ini," katanya.
No comments:
Post a Comment