KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara,
Tan Sri Ismail Omar berang apabila polis dituduh menjalankan operasi
merampas dan memusnahkan dokumen pengenalan diri yang diberikan kepada
masyarakat Sulu di Sabah.
“Tunjukkan bukti jika benar polis yang
bakar dokumen orang Sulu di Sabah. Jangan buat tuduhan liar. Saya tiada
masa hendak layan semua ini. Hentikanlah perkara tidak masuk akal ini,”
tegas beliau semasa sesi wawancara khas media di Bukit Aman, semalam.
Menurutnya, tindakan itu jelas
bercanggah dengan akta polis dan ianya tidak pernah dilakukan oleh pihak
berkuasa sejak konflik di Sabah itu bermula.
“Saya sedih dengan tuduhan sesetengah
pihak. Anggota saya sudah ada yang mati, cedera ketika menentang
pengganas tetapi ada lagi tuduhan buruk seperti ini. Anggota yang berada
di barisan hadapan menghadapi situasi yang amat mencabar tetapi masih
ada manusia yang ingat isu ini perkara main-main.
“Tanggungjawab polis untuk jaga
keamanan. Saya ucapkan terima kepada seluruh rakyat Malaysia yang
mendoakan dan menyokong kami (pasukan keselamatan). Kami perlukan
semangat patriotisme sekarang,” katanya pada sidang media di Bukit Aman,
semalam.
Beliau turut melahirkan rasa kesal
kerana ada pihak sanggup mempolitikkan isu keselamatan negara dan
mempertikaikan peranan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.
“Saya sudah diam lama, tetapi biar saya
beritahu sekarang! Saya tak layan cakap-cakap mengarut. Tolong jangan
isukan keselamatan negara. Kalau polis tak bagus, beri cadangan untuk
penambahbaikan. Kalau pihak berkenaan ada banyak duit, berikan pada
polis, tak payah saya minta dari kerajaan untuk beli lebih banyak
senjata dan kenderaan.
“Saya amat bangga dengan anggota saya
kerana sanggup menggadai nyawa. Kehidupan kami adalah kehidupan anda
demi untuk menjadi Malaysia negara yang kuat dan maju,” katanya dengan
nada tegas.
Katanya, anggota keselamatan juga
menghormati mayat musuh dengan menyempurnakan jenazah pengganas yang
mati ditembak namun masih ada yang menyalahkan polis dengan membuat
tuduhan yang tidak berasas.
“Kalau kamu tuduh macam itu, bawalah bukti pada saya,” katanya.
Sementara itu di BACHOK, Timbalan
Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, tindakan
seorang guru yang menghina anggota keselamatan dalam Operasi Daulat di
Sabah merupakan kes terpencil dan tidak menggambarkan pendirian lebih
30,000 guru di Kelantan.
Beliau berkata, sebahagian besar guru di Kelantan menyokong penuh tindakan kerajaan memburu pengganas di Lahad Datu, Sabah.
“Mereka berdiri teguh di belakang
kerajaan dalam mendaulatkan keselamatan negara,” katanya selepas
merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah
Kebangsaan Bachok, semalam.
Guru lelaki berusia 37 tahun yang
bertugas di sebuah sekolah di Tok Bali itu dikatakan menghina pasukan
keselamatan di Lahad Datu melalui laman sosial Facebook miliknya. Dia
dibebaskan sementara dengan jaminan polis, kelmarin. Dia ditahan di
sebuah rumah dekat Gong Serapat, Pasir Puteh pada 14 Mac lalu. -
No comments:
Post a Comment