Thursday 14 March 2013

Menjawab Subky Latif, ‘Tuduhan Kepada Anwar Terungkai Satu-Satu’


Published by  on March 13, 2013 

Alhaqir – Saya merasa terpanggil untuk mengulas satu artikel bertajuk “Tuduhan kepada Anwar terungkai satu-satu” tulisan Subky Latif seperti yang tersiar di dalam laman Harakah Daily bertarikh 12.03.2013.
Subky Latif adalah seorang wartawan berpengalaman. Beliau memulakan kerjaya kewartawanan seawal tahun 1950-an, pernah menjadi anak murid Allahyarham A. Samad Ismail dan kemudiannya melanjutkan karier kewartawanannya dengan akhbar Utusan Melayu. Sebagai wartawan kanan, beliau telah berpeluang membuat liputan banyak peristiwa bersejarah negara termasuklah mengikuti lawatan Allahyarham Tun Abd Razak ke China yang menjadi permulaan hubungan diplomatik di antara kedua-dua buah negara.
Seterusnya beliau menceburi bidang politik dengan memilih PAS sebagai wadah perjuangan, pernah beberapa kali mewakili parti berkenaan di dalam pilihanraya tetapi belum diizinkan Allah untuk bergelar “Yang Berhormat”.
Di dalam artikel beliau, Subky menzahirkan kelegaan beliau berikutan tindakan bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim yang membuat kenyataan memihak kepada Anwar di dalam kes liwat Ketua Pembangkang itu. Tulis Subky; ” (kenyataan itu) tambah meringankan beban yang dihadapi oleh Ketua Pembangkang berhubung dakwaan liwat”.
Tanpa mengurangi rasa hormat saya kepada Subky, hati kecil ini tertanya-tanya, benarkah kenyataan Azlan Mohd Lazim itu meringankan beban Anwar. Jika kenyataan pendek bapa Saiful yang meragui kejadian liwat dikira sudah begitu menguntungkan Anwar, apa pula pandangan Subky terhadap pengesahan pihak Hospital Kuala Lumpur seperti yang dikemukakan di dalam mahkamah bahawa air mani Anwar dikesan di dalam dubur Saiful?
Sukar untuk saya mempercayai bahawa kenyataan Azlan Mohd Lazim,tanpa sebarang bukti dan enggan pula untuk bersumpah dikira lebih “reliable” berbanding keterangan bersumpah seorang doktor pakar di mahkamah. Sebagai wartawan berpengalaman yang pernah menemuramah tokoh-tokoh politik termasuklah Presiden Sukarno, Subky tentunya amat matang dalam membaca bahasa tubuh seseorang ketika bercakap. Luar biasa sangatkah bahasa tubuh Azlan Mohd Lazim sewaktu sidang akhbar tertutup itu sehingga meyakinkan Subky tentang kebenaran kenyataannya tanpa perlu disiasat lagi.
Di dalam artikelnya juga, Subky menyatakan video klip yang diketengahkan oleh trio Datuk T sebagai “dilihat tidak bersih”. Sebersih mana pula kenyataan bapa Saiful ini? Video klip itu juga telah dibawa ke mahkamah dan keterangan dua orang pakar asing yang mengesahkan ketulinan video itu di”tender” di hadapan Hakim. Anwar Ibrahim sehingga hari ini tidak pernah membuat apa-apa bantahan tentang keterangan pakar-pakar asing itu. Subky meyakini Anwar tidak melakukan kesalahan liwat kerana menurut beliau ” di dalam kedua-dua tuduhan liwatnya dia dibebaskan oleh mahkamah”.
Tahniah! Subky meyakini keadilan sistem perundangan negara kita. Maka apa yang menghalang Subky untuk menilai secara adil hakikat bahawa aksi Anwar di dalam video klip Datuk T itu juga telah disahkan oleh dua orang pakar asing dan keterangan pakar-pakar asing itu dikemukakan ke dalam mahkamah tanpa dicabar oleh Anwar dan pasukan guamannya.
Subky berhujah lagi bahawa selagi mahkamah belum mensabitkan Anwar bersalah di dalam kes liwatnya, Anwar masih seorang yang tidak bersalah. Maka apa jua keterangan dan pembuktian lain yang dibuat di luar mahkamah seperti oleh trio Datuk T, keterangan Nalla dan yang lain-lainnya tidak akan menjadi beban kepada Anwar. Tergambar betapa “patuhnya” Subky kepada keputusan mahkamah! Namun anggapan itu gagal untuk bertahan lama.
Di perenggan seterusnya beliau menyebut kenyataan PI Bala dan Deepak sebagai “beban buat Perdana Menteri”. Saya keliru. Apakah kenyataan PI Bala dan Deepak itu diungkapkan di dalam mahkamah dan apakah telah ada apa-apa sabitan dari mana-mana mahkamah terhadap Perdana Menteri sehingga hari ini. Anwar tidak bersalah kerana mahkamah belum mensabitkan beliau tetapi Perdana Menteri telah pun “terbeban” sedangkan tiada sebarang kes pun lagi yang didaftarkan yang memerlukan PM dibicarakan di atas apa-apa kesalahan!
Sebagai saudara seagama, suka saya mengingatkan diri saya dan juga Subky supaya bersikap adil apabila membuat penilaian. Tiada siapa mahu menzalimi Anwar tetapi sekuat mana pun keinginan mana-mana pihak untuk membela Anwar, janganlah sampai menzalimi Saiful.
Saya cukup pasti, jauh di sudut hatinya Subky sekurang-kurangnya meragui “kesucian” Anwar. Namun apakan daya, demi cita-cita politik, kebenaran pun terpaksa disembunyikan.
Ingatlah, di dunia mungkin kita boleh menyembunyikannya, namun di mahkamah akhirat, tiada sesiapa yang mampu berdusta. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment