Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed sedih dengan sikap sesetengah pihak yang mempertikaikan kematian pasukan pertahanan negara di medan pertempuran di Lahad Datu sebagai bukan mati syahid.
Malah lebih menyedihkan lagi kata Mahathir, “puak pengganas yang menceroboh negara, melawan kerajaan yang dipimpin oleh orang Islam dan membunuh pasukan pertahanan negara pula disifatkan syahid.”
Menurut Mahathir, “kita perlu hantar orang yang terlatih dalam bidang itu seperti tentera dan polis, mereka yang arif dan cekap menggunakan senjata, mereka ini boleh menjalankan tugas dengan sempurna dan berjaya.”
“Kalau mereka mati dalam usaha mempertahankan kita, bukankah mereka menjalankan tugas yang ditentukan oleh agama kita. Orang Islam perlu diselamatkan oleh orang Islam sendiri dan mereka ini adalah orang Islam, mereka berperang dan terbunuh, apakah kematian mereka itu tidak kerana Islam. sedikit sebanyak kematian mereka menyelamatkan kita daripada serangan musuh,” jelas Mahathir.
Mahathir juga menyelar mereka yang menganggap anggota keselamatan yang gugur sebagai mati katak dan bukan syahid.
Beliau juga menyifatkan mereka yang berkata demikian sebagai “tak pernah bersyukur kerana orang lain mati untuk kita selamat, itupun masih kita tak bersyukur, Islamkah itu.”
Beliau menyentuh soal keganasan penceroboh di Lahad Datu ketika majlis Bual Bicara Dakwah Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di Dewan Perdana Felda, Khamis.
Pada sesi ucaptama di depan hampir 1000 orang pendakwah PERKIM dan badan NGO Islam, Mahathir menerangkan bahawa Malaysia telah memberi layanan yang sangat baik pada orang Islam dari negara lain yang sering datang ke negara ini.
“Kita layan mereka sebagai orang Islam, kita memberi tempat kepada mereka malah ada yang diberi taraf warganegara kepada mereka. Tetapi ada diantara mereka tidak sedikit pun berterima kasih sebaliknya cuba menceroboh masuk ke negara kita dan membunuh pasukan pertahanan kita,” tambah beliau.
Menceritakan lebih lanjut perilaku penceroboh tersebut, Mahathir berkata, “musuh ini ganas bukan sahaja setakat bunuh, mereka memancung kepala dan mereka belah perut hingga terkeluar segala apa yang ada di dalamnya, inikah orang yang mereka bermusuh, inikah ajaran Islam.”
Mahathir yang juga Yang DiPertua PERKIM seterusnya menyeru orang Melayu bersatu kerana kemunduran, kelemahan dan kehinaan orang Melayu disebabkan oleh kita sendiri.
“Ini adalah kerana, kata Mahathir, “keadaan kita ini kerana kita tidak mengamalkan ajaran Islam. Sebaliknya menggunakan ajaran Islam itu sebagai satu pameran sahaja untuk menunjukkan kebaikan kita sebab kita berugama Islam.”
Sementara dalam soal dakwah, beliau mahu pendakwah dan umat Islam secara amnya memahami serta mengamalkan Islam dengan sepenuhnya bagi menarik lebih ramai orang bukan Islam kepada agama tersebut.
Katanya, “tiada yang cacat dengan Islam sebaliknya agama itu kini dipandang remeh dan lemah akibat daripada perbuatan umatnya sendiri.”
“Islam adalah cara hidup dan sebagai umat Islam kita perlu menjadi seorang berjaya kerana itulah dakwah paling berkesan.” katanya.
Turut hadir Setiausaha Agung PERKIM Tan Sri Dr. Yusof Noor, Naib Yang DiPertua 1 Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim dan Bendahari Kehormat Tan Sri Dr. Muhammad Rais Abdul Karim.-22/3/2013 OLEH LUKMAN ABDULLAH
No comments:
Post a Comment