Imam Besar Masjid Makkah: Anggota keselamatan pertahan negara mati syahid
KUALA NERANG - Imam Besar Masjid Aba'ah, Makkah, Syeikh Mohammad Sharif
Mohammad Imrani al-hafiz berkata anggota pasukan keselamatan Malaysia
yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara mati syahid.
Katanya umat Islam wajib mempertahankan negaranya daripada pencerobohan
asing dan mati dalam peperangan kerana ia adalah syahid fisabilillah dan
Allah SWT akan memberi syafaat kepada mereka.
Beliau yang
ditanya mengenai pencerobohan pengganas militan di Lahad Datu, Sabah
berkata: "Saya tidak tahu siapa yang melakukannya (pencerobohan) namun
kematian 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia mempertahankan negara
adalah syahid."
Syeikh Muhammad Sharif dibawa khas dari Makkah
ditemui selepas memberi tazkirah yang disampaikan dalam bahasa Melayu,
Inggeris serta Arab pada program 'Malam Munajat Rakyat: Gema Zikir dan
Selawat' dan dihadiri hampir 5,000 umat Islam di Masjid Muadzam Shah di
sini malam tadi.
Beliau sebelum itu mengimamkan solat Maghrib
dan solat hajat memohon Allah SWT menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya
daripada bencana, diikuti solat Isyak.
Program itu dianjurkan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Nerang Datuk Syed Sobri Syed Hashim.
Sheikh Muhammad Sharif berkata pergaduhan atau peperangan sesama umat
Islam di akhir zaman adalah tindakan manusia yang memiliki sifat syaitan
dan hendaklah dihindari oleh pengikut sebenar Nabi Muhammad SAW.
Beliau yang turut ditanya penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan
Islam di Malaysia, berkata dalam Al-Quran terdapat ayat yang jelas
menyatakan haram menggunakan nama Allah sebagai nama tuhan oleh bukan
Islam.
"Dalam Islam tidak boleh bandingkan nama Allah dalam
Bible dan Injil. Orang Bible dan Injil bukan Islam. Macam mana hendak
guna nama Allah. Perbuatan ini (guna nama Allah oleh bukan Islam) adalah
syirik dan berdosa, tidak boleh buat begini," tegasnya.
Beliau
menasihatkan umat Islam Malaysia supaya memohon perlindungan Allah SWT
dan mengadakan solat hajat agar umat Islam di negara ini terhindar
daripada fitnah yang banyak berlaku di akhir zaman.
"Bergaduh
sesama umat adalah perbuatan yang ditegah oleh Islam. Umat Muhammad SAW
adalah adik-beradik dan kita patut bersatu. Ini nasihat saya," katanya.
Dalam tazkirahnya pula, Sheikh Muhammad Sharif menegaskan tiada parti
politik boleh menjanjikan syurga atau neraka kepada umat Islam dan
perbuatan mengkafirkan sesama umat juga ditegah keras oleh Islam.
"Tiada hadis atau ayat dalam al-Quran yang menyatakan menyokong sesuatu
pihak atau parti politik boleh masuk syurga. Ini kerja Allah SWT, bukan
boleh ditentukan oleh sesiapapun pada zaman ini," katanya.
Sementara itu Syed Sobri berharap penjelasan Imam Besar Masjid Aba'ah
itu berlandaskan al-Quran dalam soal kematian anggota keselamatan,
penggunaan kalimah Allah dan menyokong pembangkang boleh masuk syurga
perlu dipandang serius oleh umat Islam di negara.
"Saya harap
umat Islam yang hadir pada malam ini tidak lagi terpengaruh dengan
dakwaan songsang pihak tertentu bersabit tiga perkara tersebut yang
membawa kepada syirik," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment