Wednesday, 20 February 2013

Hentikan Khabar Angin Mengenai Situasi Di Lahad Datu: Musa Aman

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman meminta orang ramai supaya berhenti menyebarkan khabar angin mengenai pencerobohan lelaki bersenjata Kesultanan Sulu di Lahad Datuk kerana pihak berkuasa cuba melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan proses rundingan.
Beliau berkata, khabar angin itu hanya akan membawa kepada perasaan kurang senang dan menimbulkan kekacauan.
"Setiap orang dan saya maksudkan kita semua harus lebih bertanggungjawab," katanya selepas sesi taklimat mengenai situasi di Kampung Tanduo oleh Pesuruhjaya Polis Sabah pada Khamis.
Seramai 150 lelaki bersenjata diketuai oleh Raja Azzimudie Kiram, adik kepada Sultan Sulu, Jamallul Kiram III, menceroboh masuk ke perkampungan yang terletak kira-kira 160km dari Lahad Datu sejak 9 Februari lalu.
Kumpulan tersebut menuntut supaya mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan komuniti Suluk di Sabah tidak dihantar pulang ke Selatan Filipina.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk V K Liew berkata tuntutan kumpulan itu tiada asas.
"Berdasarkan fakta sejarah, Kesultanan Sulu tidak lagi wujud sejak 1930 apabila Filipina menjadi republik.
"Dalam hal ini, soal tuntutan tidak timbul sama sekali kerana dinasti tersebut sudah jelas dibubarkan," kata Liew yang juga seorang peguam dan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP).
Di Manila, media Filipina melaporkan beberapa pegawai Presiden Benigno Aquino telah dihantar untuk memujuk Jamallul Kiram supaya memanggil pulang pengikutnya dari Sabah.

No comments:

Post a Comment