Saturday 5 January 2013

Tindakan DAP Akui Kesilapan Pemilihan CEC ‘Luar Biasa’ Dan Janggal: TPM



Tindakan DAP mengakui berlaku kesilapan dalam keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti yang menyaksikan pemimpin Melayu dalam parti, Zairil Khir Johari memenangi salah satu jawatan itu disifatkan sebagai ‘amat janggal dan luar biasa’.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penjadualan semula undi yang dilakukan DAP itu boleh dipertikaikan dari segi kewibawaan dan integritinya memandangkan sebelum ini keputusan menunjukkan pemimpin Melayu kalah teruk dalam pemilihan berkenaan.
“Selama ini, DAP pertikai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai tidak telus dan tidak adil tetapi apabila DAP mengakui kesilapan dalam keputusan pemilihan ECE, adakah mereka ini telus dan adil seperti yang didakwa sebelum ini dan yang kononnya ia sebuah parti yang ‘multi-racial’.
“Hakikatnya, ia hanya sekadar cakap sahaja dan biarlah rakyat menilai sendiri tindakan itu dan Lim Guan Eng perlu memberi penjelasan berhubung kesilapan undi dalam pemilihan itu, ” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama warga kerja PROTON di kilang Proton di Proton City, dekat Tanjung Malim, hari ini.
Kelmarin, DAP mengumumkan kesilapan itu kira-kira tiga minggu selepas pemilihan 15 Disember lalu, walhal Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sendiri mengakui beliau dimaklumkan perkara itu pada 17 Disember, iaitu dua hari selepas pemilihan.
DAP menjelaskan berlaku kesilapan penjualan dalam keputusan pemilihan CEC yang menyaksikan calon nombor 31 hingga 38 memperoleh bilangan undi sama dengan calon nombor 61 hingga 68, termasuk Zairil.
Penjualan semula ini menyaksikan Zairil memperoleh 803 undi dan berada pada kedudukan ke-20, sekaligus menjadi calon Melayu tunggal memenangi pemilihan CEC. Sebelum ini, beliau hanya dilantik menjadi ahli CEC.
Mengulas lanjut, Naib Presiden UMNO itu juga berkata, jika berlaku kesilapan dalam pengiraan undi, ia sepatutnya dilakukan pada yang sama sebaliknya DAP mengambil tempoh yang lama untuk mengakuinya dan membuat pengiraan semula.
“Apabila kesilapan ini berlaku, kemenangan dan kekalahan calon yang bertanding CEC boleh diragui dan dipertikaikan,” katanya lagi sambil menambah DAP sememangnya tidak layak memerintah negara ini.
Mengulas tindakan Ketua Pembangkang yang terus menghasut dan mempolitikkan kejatuhan saham Felda, Timbalan Perdana Menteri berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahimm sebenarnya cemburu dengan kejayaan yang dicapai oleh Felda selama ini.
Katanya, penyenaraian saham Felda di Bursa Saham Malaysia itu tidak seharusnya dipertikaikan kerana ia mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
“Anwar sebenarnya iri hati dengan kejayaan Felda hingga sanggup mempolitikkan saham Felda jatuh dan bagi saya, ia niat yang tidak baik.
“Beliau seharusnya dipersalahkan kerana cuba mencampuri urusan perniagaan syarikat awam dengan membuat kenyataan politik yang tidak bertanggungjawab supaya rakyat marah dan benci kepada kerajaan,” jelasnya lagi.
Tambahnya, Bursa Saham Malaysia boleh memanggil Anwar berhubung kenyataannya itu yang boleh menjadikan pemegang saham iaitu peneroka Felda mengalami kerugian jika saham Felda terus jatuh.

No comments:

Post a Comment