Friday 4 January 2013

PRU: SPRM terima nama calon untuk ditapis

MELAKA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima beberapa nama calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dari pelbagai parti politik bagi menjalankan tapisan keutuhan integriti.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan berkata, pihaknya akan melakukan tindakan susulan terhadap senarai nama tersebut.
"Tapisan keutuhan ini merupakan salah satu perkhidmatan yang disediakan SPRM sejak tahun 1985 dan kita sentiasa bersedia menjalankannya sekiranya terdapat permintaan dari mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) Kumpulan Melaka Berhad (KMB) di sini hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan tapisan keutuhan tersebut bagaimanapun tidak terhad kepada calon parti politik sebaliknya boleh dilakukan terhadap calon untuk kenaikan pangkat, calon mendapatkan pingat untuk bersara pilihan, calon pegawai kerajaan dan calon syarikat swasta yang hendak menjawat sesuatu jawatan.
Sebelum ini, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) mencadangkan supaya semua parti menghantar nama-nama calon yang akan bertanding dalam PRU-13 untuk ditapis atau melalui proses pemeriksaan oleh SPRM. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment