Monday 7 January 2013

Perimau buat laporan polis berhubung akaun Facebook hina Islam

JOHOR BAHRU - Persatuan Pemuda Puteri Malaya Bersatu (Perimau) hari ini membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa bertindak terhadap pemilik sebuah akaun Facebook yang didakwa menghina agama Islam.

Presidennya Mohd Ridhwan Othman berkata laporan dibuat di Balai Polis Tampoi, di sini, bagi membolehkan polis dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyiasat pemilik akaun itu yang menggunakan mana Adlin binti Abd Jalil.

"Kami dapati Facebook yang menghina Rukun Iman dan aktif sejak bulan Mac lalu mendapat sokongan (like) daripada ramai yang menggunakan nama Islam dan Melayu.

"Kita bimbang tindakan ini seakan mengajak umat Islam memusuhi agama sendiri dan boleh mencetuskan perpecahan dalam Islam," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan.

Mohd Ridhwan mendakwa kenyataan yang dikeluarkan menerusi akaun itu juga tidak rasional dan seakan sengaja mahu mencetuskan perbalahan agama di negara ini.

"Kita terpanggil kerana sebelum ini tidak ada pihak yang membuat laporan berhubung tindakan pemilik akaun ini," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment