AMPANG - Berlaku kekecohan apabila penduduk terpaksa berebut untuk
mendapatkan bekalan air yang dihantar pihak Syabas di Pangsapuri Mesra
Ria, Taman Pandan Mesra, malam kelmarin.
Zulkifli Johari, 56, berkata, disebabkan bekalan air tidak mencukupi,
penduduk berebut air dan tercetus suasana kecoh semasa mengambil air
dari tong Syabas.
Menurutnya, masalah berlaku apabila penduduk turun serentak mengambil
bekalan dan berlaku pertengkaran kecil apabila masing-masing berebut
mendapatkan bekalan air.
“Sepatutnya Syabas bertindak bijak menyalurkan bekalan tersebut secara
berperingkat seperti di waktu pagi, di mana penduduk yang tidak bekerja
boleh mengambilnya dulu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Zulkifli berkata, pada ketika itu juga, lif pangsapuri telah rosak
kerana beban penduduk yang membawa air tidak dapat menampung kemudahan
itu untuk beroperasi.
M Nicky, 47, berkata, selain berebut air, penduduk terpaksa mengangkut air menaiki tangga apabila lif pangsapuri rosak.
“Saya juga terpaksa menunggu tiga jam untuk mendapatkan air
memandangkan penduduk di blok pangsapuri lain turut berkongsi mengambil
air.
"Keadaan saya dan keluarga juga tidak terurus selama empat hari kerana tidak dapat mandi dan baju tidak dicuci,” katanya.
Sementara itu, seorang warga emas, Uu Weng Fei,70, berkata, dia pernah
terjatuh semasa mengangkut air setelah terpaksa menaiki tangga.
“Saya mengalami kecederaan di bahagian bahu dan bernasib baik terdapat
penduduk lain membantu,” katanya yang tinggal di tingkat 11 pangsapuri
tersebut.
-SINAR
No comments:
Post a Comment