KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mahu memohon
perkenan Yang di-Pertuan Agong agar memanggil satu sidang Parlimen
tergempar bagi membincangkan isu-isu dibangkitkan ahli perniagaan Deepak
Jaikishan baru-baru ini.
Menurut Mahfuz, sidang khas perlu diadakan sebelum 25 Februari ini kerana beliau yakin Parlimen dibubarkan selepas tarikh itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 dijalankan.
"Saya sudah beri tempoh sebelum ini, untuk mereka yang terlibat membuat penjelasan. Bagaimanapun sehingga hari ini pemimpin-pemimpin yang dulunya seperti mulut murai membisu tanpa sebarang kata.
"Kenyataan Deepak menyentuh kredibiliti Perdana Menteri dan ia melibatkan maruah negara. Tiga agensi, seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara perlu bertanggungjawab membersihkan imej negara," katanya pada sidang media di ibu pejabat Pas, hari ini.
Mahfuz berkata, pihaknya akan menghantar satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat ini.
"Saya telah memfakskan surat kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Datuk Elmi Mohd Yusoff untuk bertemu dengan Tuanku bagi menyerahkan memorandum supaya menyiasat dakwaan yang dilemparkan oleh Deepak kerana ia turut melibatkan maruah baginda sebagai ketua negara," katanya.
Selain itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena meminta agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat semua dakwaan Deepak.
Sementara itu, ketika ditanya mengapa tarikh sebelum 25 Febuari itu disebut.
Mahfuz berkata, beliau mendapat gambaran jelas yang Parlimen akan dibubar.
"Saya jangka sekitar tarikh itu parlimen akan dibubarkan, pada musim cuti persekolahan. Perkiraan ini berdasarkan firasat dan kajian saya terhadap beberapa perkara.
"Sebab itu penting sidang parlimen tergempar diadakan sebelum pembubaran parlimen," katanya.
No comments:
Post a Comment