Friday, 4 January 2013

Najib gesa veteran tentera setia kepada BN

KUALA LUMPUR, 4 Jan — Veteran angkatan tentera digesa tidak “cuba-cuba” untuk menukar kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana ia merupakan perjuangan yang terlalu besar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Ini bukan masa kita buat percubaan, bermain-main dengan sesuatu yang terlalu besar perjuangannya kepada kita, rakan-rakan kita yang telah meninggal dunia kerana berjuang mempertahankan negara ini dari musuh durjana,” kata Najib dihadapan hampir 1,000 veteran tentera di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Justeru, Presiden Umno itu turut menggesa agar veteran pasukan keselamatan itu untuk meneruskan perjuangan mereka menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Marilah kita memperbaharui ikrar agar kita teruskan perjuangan,” kata Najib ketika ucapan perasmian Majlis Perwakilan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) ke - 87 malam tadi.
“Kita berjaya kerana tuan-tuan telah meletak kepentingan politik di tempat sepatutnya ... semangat tak mahu kuasa berpindah ke tangan yang lain,” tambah Najib disambut sorakan veteran tentera yang hadir.
Sementara itu, Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abd Ghani dalam ucapannya berjanji akan PBTM akan mensasarkan “1 veteran 10 undi” untuk BN, bagi memastikan BN akan kekal memerintah negara ini.
“Setiap lima tahun kita tetap berperang untuk mempertahankan negara dari ancaman dalam negara sendiri.
“Dalam tentera dahulu, 1 peluru 1 musuh; sekarang 1 bekas tentera, 10 pengundi!” kata Muhammad disambut tepukan daripada rakan-rakan bekas tenteranya.
Majlis malam itu turut menyaksikan Najib menyampaikan replika cek bernilai RM224 juta, sebagai simbolik pemberian “one-off” kepada veteran tentera yang tidak berpencen.
Sejumlah 224,000 veteran angkatan tentera tidak berpencen akan menerima RM1,000, di bawah rancangan Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M), seperti diumum Najib ketika pembentangan Bajet 2013 September lalu.

No comments:

Post a Comment