Monday 7 January 2013

MCA Terima 11 Kes Pinjaman Ah Long Libatkan Nilai RM500,000 Dalam Tempoh 7 Hari

KUALA LUMPUR: Biro Pengaduan Awam MCA menerima 11 aduan berkaitan peminjam wang tidak berlesen atau Ah Long melibatkan jumlah pinjaman RM500,000 hanya dalam tempoh tujuh hari, tahun ini.
Ketua bironya Datuk Michael Chong berkata, semua aduan telah dikemukakan kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah dan ia dilaporkan bukan sahaja daripada kaum Cina, malah daripada kaum lain.

"Mangsa-mangsa Ah Long yang diugut boleh tampil ke Balai Polis berhampiran untuk membuat aduan dan kami di Biro Pengaduan MCA sedia menerima aduan daripada mangsa tanpa mengira kaum," katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini hari ini.

Menurut Chong mangsa lazimnya membuat laporan hanya selepas diugut, anak diculik atau rumah disimbah cat setelah hutang yang ditanggung meningkat berkali ganda.

"Ada mangsa yang hanya meminjam RM5,000, namun terpaksa membayar sehingga RM37,500," katanya. Pada sidang media itu, seorang ibu tunggal yang mahu dikenali sebagai Siti, 32, berkata beliau dan tiga anak perempuannya kini hidup dalam ketakutan sejak empat tahun lalu, ekoran terpaksa menanggung beban hutang Ah Long sebanyak RM60,000.

Katanya, bekas suaminya seorang anggota tentera telah berhutang RM15,000 dengan Ah Long menggunakan kad pengenalannya dan beliau kini yang terpaksa membayar hutang itu meskipun telah berpisah dengan suaminya, sejak Oktober 2010.

"Bekas suami saya tidak pernah peduli untuk membayar balik hutang itu menyebabkan anak bongsu kami yang berumur lima tahun diculik Disember lalu," katanya.

Menurut Siti beliau perlu membayar RM4,000 untuk mendapat balik anaknya itu daripada Ah Long dengan meminjam daripada rakan-rakan.

Siti yang bekerja sebagai penjual kuih di Tanjung Karang berkata beliau diugut untuk membayar RM200 sehari kepada Ah Long, menyebabkan beliau sering berpindah-randah.

"Anak sulung saya akan menduduki peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) tahun ini dan dia tidak dapat memberi perhatian dalam pelajarannya disebabkan angkara bekas suami," katanya sambil menambah beliau telah banyak kali membuat laporan polis mengenai kesnya itu.

Sementara itu, Chong berkata pihaknya menerima sebanyak 588 kes serupa pada tahun 2012 dan hanya 60 peratus dapat diselesaikan melalui penjualan harta milik mangsa seperti rumah, tanah dan kereta kepada Ah Long.
- Bernama

No comments:

Post a Comment