Kerajaan akan memberi penghormatan kepada pahlawan negara, Datuk
Temenggong Kanang Anak Langkau yang meninggal dunia, dipercayai akibat
serangan jantung pada awal pagi Khamis.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, kerajaan
mengambil keputusan untuk memberi penghormatan kepada mendiang di
Sarawak pada Ahad ini.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)
telah mengarahkan saya untuk meminta pegawai-pegawai pertahanan untuk
melakukan persiapan bagi penghormatan kepada mendiang.
“Kerajaan negeri (Sarawak) juga akan mengkoordinasikan majlis
penghormatan ini. Kami mengenang Kanang Anak Langkau kerana jasa-jasa
beliau bukan sahaja kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi juga
kepada negara kita ketika beliau berkhidmat sebagai salah seorang
anggota tentera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Graduasi
Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) Malaysia Siri 32/2012 di Kuala
Lumpur, Khamis.
Kanang meninggal dunia pada usianya 65 tahun di Hospital Umum Sarawak
(HUS) pada 1.45 pagi Khamis selepas mengadu sakit dada ketika menonton
televisyen di kediamannya di Kampung Sungai Apong sebelum pengsan dan
dikejarkan ke hospital.
Ahmad Zahid berkata, beliau mengenali Kanang secara peribadi dan
merasakan kehilangan seorang teman yang merupakan seorang pahlawan
negara.
Menurut Ahmad Zahid, jasa budi Kanang akan dikenang kerana mendiang
berkesempatan untuk meriwayatkan perjuangan beliau menerusi beberapa
wawancara dan pengkisahan.
“Saya agak terkilan kerana filem yang bertajuk ‘Kanang Anak Langkau’
belum sempat disiapkan. Bagaimanapun, saya akan meminta penerbit dan
pengarah filem berkenaan agar menggunakan bahan-bahan penggambaran yang
sedia ada untuk disiapkan bagi dipertontonkan kepada khalayak umum.
“Pengriwayatan beliau dalam bentuk wawancara, buku dan filem adalah
sebagai mengenang jasa beliau dan menjadikan contoh kepada para pegawai
dan anggota tentera yang lain,” katanya.
Kanang dianugerahkan dengan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 7
Jun 1987 dan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (PSP) pada 3 Jun 1981
daripada Yang di-Pertuan Agong.
Ahmad Zahid berkata, setakat ini mendiang merupakan satu-satunya penerima kedua-dua anugerah terbesar negara itu.
Kanang merupakan Pengesan Jejak Iban (Iban Tracker) pada 21 April
1962 sebelum diserapkan ke Renjer Malaysia apabila Persekutuan Malaysia
diisytiharkan pada 16 September 1963 dan beliau bersara dengan jawatan
terakhirnya dalam ATM sebagai Pegawai Waran 1, selepas 21 tahun
berkhidmat.
Antara perjuangan beliau yang menjadi kebanggaan negara apabila
berani menentang komunis ketika bersama ATM dari 1962 hingga 1963.
-mStar
No comments:
Post a Comment