Thursday 3 January 2013

Kelab wartawan muda kecam gejala dedah dokumen sulit

KUALA LUMPUR, 3 Jan — Gejala mendedahkan dokumen sulit dan rahsia yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini membimbangkan, kata Kelab Wartawan Muda Malaysia hari ini. Presidennya, Dzulkarnain Taib (gambar), berkata, pihaknya memandang serius gejala seperti itu yang menurutnya hanya untuk kepentingan politik sesetengah pihak bagi meraih undi dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan dilaksanakan tahun ini.
“KWMM memandang amat serius sikap tidak bertanggungjawab pemimpin pembangkang seperti (Pengarah Strategik PKR) Rafizi (Ramli) yang membuat andaian dan dakwaan yang tidak berasas tanpa pembuktian yang nyata,” katanya dalam kenyataan tersebut.
“Tanpa bukti yang sahih dan kukuh, Rafizi telah mengaitkan pembelian barangan kemas berjumlah AS$3.66 juta (RM11.2 juta) itu kepada isteri kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), Datin Seri Rosmah Mansor.”

Rafizi ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR semalam mendedahkan dokumen yang didakwanya bukti transaksi Deepak Jaikishan menjadi orang tengah dalam pembelian barang kemas dari dua syarikat yang berpangkalan di Hong Kong.
“Jika dilihat kepada amaun di sini, Deepak membeli barang kemas berharga USD3.66 juta,” kata Rafizi dan menambah, “saya tidak akan berkata Deepak membeli kesemua barang kemas itu untuk dirinya.
“Demi kepentingan orang ramai kita perlu mendapatkan penjelasan kedua-dua pihak,” katanya lagi, dan menambah isu berkaitan barang kemas dan cincin sangat sensitif di Malaysia.
Dzulkarnain berkata, KWMM menentang keras politik kotor pihak pembangkang yang ingin menagih sokongan rakyat melalui penyebaran fitnah terhadap pemimpin-pemimpin negara.
“KWMM menggesa pihak berkuasa untuk menyoal siasat Rafizi dengan segera berhubung perkara ini serta berusaha mengekang gejala yang tidak bermaruah ini,” tambahnya.
Antara dokumen pembelian yang diedarkan kepada media oleh Rafizi adalah termasuk dokumen yang menunjukkan pembayaran sejumlah USD115,000 bagi berlian daripada Dehres Ltd, pengedar barang kemas terkemuka di Hong Kong.
Dokumen lain pula menunjukkan transaksi bernilai USD3.9 juta bagi pembelian cincin dan subang daripada Firestone Co Ltd, yang juga merupakan pengedar barang kemas dari Hong Kong.
Ahli perniagaan karpet itu bagaimanapun semalam menafikan dokumen yang didedahkan Rafizi berhubung transaksi pembelian barang kemas yang mengaitkan isteri seorang VIP di negara adalah miliknya.
“Sejujurnya, saya tidak pasti apa dokumen yang dimaksudkan Rafizi,” kata Deepak ketika sidang media lewat petang semalam.
“Saya tidak tahu dokumen apa yang Rafizi dedahkan … saya sendiri tidak melihatnya,” tegas Deepak kepada pemberita.
Usahawan karpet itu bagaimanapun tidak menafikan syarikat yang dinyatakan di dalam dokumen tersebut — Carpet Raya Sdn Bhd dan Carpet Plus Sdn Bhd — dimilikinya.
“Syarikat itu milik saya, tetapi tidak dokumen itu,” tambahnya lagi.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you’re reading it on someone else’s site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers. Five Filters recommends: Gaza Blitz – Turmoil And Tragicomedy At The BBC.
Source: The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment