Wednesday 16 January 2013

@ismailsabri60 : Industri Francais Dijangka Cecah RM23.6 Bilion Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Sumbangan industri francais dari dalam dan luar negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disasarkan mencecah RM23.6 bilion tahun ini berbanding RM22.5 bilion tahun lepas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehingga kini, katanya sejumlah 46 francaisor tempatan berjaya mengembangkan jenama francais ke 50 negara asing dengan jumlah keseluruhan 1,413 cawangan francais.

"Ini menyumbang kepada pengunjuran pendapatan negara kasar yang mendadak sejak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil alih pengurusan francais tiga tahun lepas.

"Kita boleh nampak strategi yang dijalankan ini berjaya dilaksanakan dalam menerajui promosi produk serta penjenamaan francais pada peringkat antarabangsa, yang turut meningkatkan tahap keyakinan usahawan luar terhadap jenama francais tempatan," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas prapelancaran Simposium Ekspo Francais Asean (AFES) 2013 dan Penyampaian Lesen Francais yang turut dihadiri Duta Thailand ke Malaysia Krit Kraichitti di sini hari ini.

Beliau yakin pelbagai inisiatif serta program yang dijalankan kerajaan dengan matlamat memantapkan infrastruktur pembangunan francais mampu membantu kementerian bergerak secara agresif bagi menetapkan hala tuju strategik pembangunan industri francais di negara ini.

"Saya berharap penggiat francais mengadakan perancangan pembangunan perniagaan sendiri selari dengan strategi kerajaan untuk mencapai sasaran menjadi hab francais di Asia Tenggara menjelang 2020," katanya.

Menurut Ismail Sabri, Malaysia mempunyai beberapa persamaan seperti makanan dan budaya dengan negara Asean lain yang merupakan salah satu faktor menyumbang kepada perkembangan industri francais.

Katanya, 20 jenama francais Malaysia bertapak kukuh di Indonesia (59 cawangan) manakala masing-masing 14 jenama di China (74 cawangan) dan Singapura (22 cawangan).

Ditanya mengenai kedudukan jenama francais Malaysia berbanding negara lain, Ismail Sabri berkata setakat ini tiada data yang direkodkan namun kementerian akan menjalankan kajian secara terperinci pada masa akan datang.

Menyentuh mengenai AFES 2013, beliau berkata AFES merupakan program francais antarabangsa peringkat Asean julung kali diadakan di negara ini, yang menyasarkan penyertaan 500 delegasi persidangan, 80 ruang pameran dengan 32 pempamer tempatan dan 48 pempamer antarabangsa serta anggaran kehadiran 10,000 pengunjung.

AFES 2013 itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 8 Mac depan sebagai platform kepada produk francais Asean untuk dipromosikan ke pasaran antarabangsa.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment