Sunday 13 January 2013

Gesa tutup premis judi internet

MENTAKAB – Lebih 40 penduduk Taman Seri Layang dan Taman Rimba di sini mengadakan demonstrasi aman mendesak pemilik pusat judi internet yang beroperasi di taman perumahan mereka sejak beberapa bulan lalu supaya menutup perniagaan mereka.

Himpunan aman yang dianjurkan Jawatankuasa Masjid Taman Saga itu turut disertai Umno cawangan terbabit serta penduduk dari beberapa kawasan perumahan berhampiran.

Pemangku Ketua Umno Cawangan Taman Seri Layang, Hashim Abdullah, berkata, penduduk membantah pembukaan premis mesin judi internet di kawasan perumahan tersebut yang majoritinya dihuni Orang Melayu.

“Kami desak mereka ini supaya memindahkan perniagaan mereka di luar kawasan perumahan dan tidak mengganggu keharmonian kami di sini,” katanya.

Menurutnya, desakan itu dibuat kerana penduduk bimbang akan berlaku beberapa kejadian jenayah di kawasan perumahan itu selepas pembukaan pusat judi internet itu beroperasi di kawasan tersebut.

“Kami di sini lebih 80 peratus beragama Islam mendesak supaya 10 premis yang dibuka di Taman Seri Layang dan Taman Rimba ditutup dengan segera atau dipindahkan ke kawasan lain.

“Disebabkan pusat judi ini juga, kami bimbang akan berlaku pelbagai jenayah dan kegiatan sosial melampau,” katanya.

Beliau berkata, undang-undang berkaitan perjudian sedia ada perlu dikaji semula supaya rakyat terutama pemilik premis tidak boleh beroperasi sewenang-wenangnya terutama dalam kawasan perumahan.

Hashim berkata, Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) digesa supaya bertindak bersama dengan tidak menyediakan kemudahan akses internet dan bekalan tenaga kepada premis judi ini.

Menurutnya, pihak berkuasa digesa menjalankan tugas mereka dengan penuh adil dan amanah selain pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih tegas dan bertanggungjawab untuk menghapuskan kegiatan perjudian di sini.

No comments:

Post a Comment