BAGAN DATOH - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu
Pendaftar Pertubuhan (RoS) melakukan siasatan berhubung isu pemilihan
Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bulan lepas.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, hanya RoS yang boleh menyiasat perkara itu.
"Dan jika didapati ketelusan tidak ada maka mungkin RoS boleh mengeluarkan kenyataan terhadap hasil siasatan itu.
"Itu terpulang kepada RoS untuk mengharamkan DAP atau tidak," katanya
kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan 1 Ihsan Samudera
Bagan Datoh kepada 876 nelayan di sini, hari ini.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini melaporkan DAP mengakui
berlaku kesilapan dalam pengiraan undi semasa pemilihan jawatan CEC yang
diumum 15 Disember tahun lalu dan menerusi keputusan yang dipinda itu,
Zairil Khir Johari yang pada mulanya berada pada kedudukan 39, kini
berada pada kedudukan 20.
Vincent Wu, yang pada mulanya mendapat tempat keenam dengan 1,202 undi,
jatuh ke tempat ke-26 kerana parti itu mendakwa beliau sebenarnya hanya
meraih 669 undi.
Ahmad Zahid mendakwa alasan DAP kononnya berlaku kesilapan dalam
pengiraan undi itu adalah bagi membolehkan mereka meletakkan Zairil
sebagai wakil Melayu dalam CEC.
"Maka mereka menyusun strategi yang kononnya kiraan undi itu salah
selepas tiga minggu (pemilihan). Ini memperlihatkan mereka tidak telus.
"Tetapi kalau pengundian itu dibuat selepas sehari atau dua (hari)
mungkin munasabah tetapi apabila media memberikan komen maka mereka cuba
untuk mengelirukan keadaan kononnya mengira semula undi," katanya. -
Bernama
No comments:
Post a Comment