KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembahagian kerusi
antara parti komponen Barisan Nasional (BN) sudah hampir selesai dan
sebahagian besar penentuan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU13) juga telah diputuskan.
Perdana Menteri berkata bagaimanapun, pemilihan calon masih memerlukan
penelitian yang mendalam bagi memastikan pilihan itu adalah tepat, bukan
sahaja dari sudut kebolehan tetapi juga dari segi penerimaan di kawasan
yang ditandingi.
"Kita akan tentukan dan kita akan maklumkan (senarai calon), ada
beberapa pandangan yang kita bincang tetapi belum buat keputusan lagi,"
katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis
Tertinggi BN malam tadi.
Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata banyak petanda menunjukkan
bahawa sokongan rakyat terhadap BN bertambah positif, bagaimanapun BN
tidak mahu sebarang sikap terlalu selesa dan yakin seolah-olah tidak ada
apa yang boleh menggugat kedudukan parti itu.
"Tapi kita pun sedar bahawa dalam masa pilihan raya ini, banyak faktor yang boleh mempengaruhi keputusan kesudahannya.
"Saya berharap kita akan gandakan usaha kita, pastikan semua urusan
yang perlu dilakukan akan dilakukan dengan sebaik mungkin dan terus
memberi semangat keyakinan menang kepada jentera BN kita," katanya.
Najib berkata mesyuarat itu turut membincangkan tentang keperluan lain
seperti persediaan dari segi manifesto, logistik dan beberapa perkara
lain dalam menghadapi PRU13 yang akan diadakan tidak lama lagi.
Menjawab kemungkinan Parlimen akan dibubarkan serentak dengan Dewan
Undangan Negeri (Dun) Johor pada 21 Mac depan, beliau berkata: "Tidak
apalah, Dun Johor, Dun Johorlah, Parlimen, Parlimenlah."
"Kita akan tahu apabila tiba masanya..kita masih meneka...tak apa teruskan tekaan...saya suka permainan meneka ini," katanya.
Ditanya adakah mesyuarat Majlis Tertinggi BN itu merupakan mesyuarat
terakhir sebelum PRU13, beliau berkata: "Ini mungkin mesyuarat akhir
atau
mungkin ada lebih banyak mesyuarat lagi...juga minggu depan kita ada mesyuarat."
mungkin ada lebih banyak mesyuarat lagi...juga minggu depan kita ada mesyuarat."
Mengenai kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam
satu temubual dengan Bloomberg baru-baru ini yang mengatakan bahawa
beliau (Najib) mewarisi sebuah kerajaan yang lemah, Perdana Menteri
berkata beliau akan melakukan yang terbaik untuk membentuk sebuah
kerajaan yang kuat.
"Kami akan melakukan sebaik mungkin...sudah tentu anda inginkan sebuah
kerajaan yang kuat...semua mahu sebuah kerajaan yang kuat," katanya. -
Bernama
No comments:
Post a Comment