Anugerah Juara Lagu ke 27 (AJL27) yang akan berlangsung pada malam Ahad ini tentunya ditunggu-tunggu bagi mengetahui lagu manakah yang akan diumumkan sebagai lagu terbaik.
mStar Online memilih tiga buah lagu yang dijangka bakal memberi saingan sengit untuk berentap dalam acaran yang mengiktiraf penulis lirik dan pencipta lagu itu.
Teman Pengganti, nyanyian Black dan Malique, Terukir Di Bintang (Yuna) serta Patah Seribu (Shila Amzah) dilihat antara karya yang mempunyai tarikan dan berkemungkinan besar tersenarai dalam kelompok tiga pilihan lagu terbaik.
Berdasarkan analisis rambang mStar Online, Teman Pengganti mempunyai potensi untuk dipilih menjuarai acara itu.
Walaupun muzik yang ditonjolkan berkonsepkan ‘pop rock’ namun ia memiliki sentuhan kreativiti pada liriknya yang cukup kuat di samping nyanyian rap yang dibawakan Malique, yang dilihat satu kelainan dalam karya tempatan.
Lagu ciptaan Malique sepenuhnya itu berkisarkan tentang pesanan seorang suami yang menderita dengan penyakit maut kepada isterinya.
Terukir Di Bintang pula lebih memaparkan elemen ‘urban klasik’ yang diinspirasikan daripada lagu Bulan Ditutup Awan (nyanyian Rokiah Wanda) dan setakat ini, sentuhan muzik sebegini boleh dikatakan satu peredaran baru dalam industri muzik negara kita .
Mungkin Aizat akan membawa satu hikmah apabila dia terpaksa menggantikan tempat Yuna untuk mempersembahkan lagu berkenaan?
Lagu ciptaan Shila Amzah, Patah Seribu pula menampilkan muzik ringan, namun sentuhan melodinya pula penuh dengan nilai-nilai komersial tetapi kreatif.
Namanya yang semakin dijulang atas kemenangannya yang pelbagai sejak akhir-akhir ini mungkin juga dapat memberi tuah pada AJL27.
Lebih-lebih lagi anak sulung penyanyi ND Lala ini sudah mendapat pengiktirafan apabila Patah Seribu meraih Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM 19).
Bagaimanapun keputusan juri sukar dijangka, terpulang kepada juri-juri yang menilainya mengikut pengamatan daripada pelbagai sudut.
Berdasarkan keputusan AJL tahun-tahun sebelumnya, kebanyakan pemenang yang dipilih tidak dijangka. Mungkin juga perkara sama berlaku pada tahun ini?
Sementara itu, mStar Online dapat merasakan Hafiz yang membawakan lagu Ku Akui akan mempertahankan kemenangannya pada tahun lalu meraih kategori Vokal Terbaik.
Black dan Azlan & The Typewriter juga berpotensi memenangi kategori tersebut.
Juara AJL27 akan membawa pulang trofi serta wang tunai bernilai RM35,000, naib juara (trofi dan RM15,000), manakala tempat ketiga (trofi dan RM12,000).
Bagi persembahan dan vokal terbaik masing-masing akan membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000.
Barisan juri AJL27 pula dianggotai oleh 10 orang yang diketuai oleh komposer Azmeer.
Acara itu bakal berlangsung pada Ahad ini di Stadium Putra Bukit Jalil dekat sini pukul 9 malam dan akan disiarkan secara langsung di TV3.
12 lagu yang berentap di AJL27 ialah:
1. Idola – Azlan & the Typewriter
2. Pelangi Senja – Stacy
3. Terukir Di Bintang – Yuna
4. Anak Kampung – Jimmy Palikat & One Nation Emcee
5. Ombak Rindu – Hafiz & Adira
6. Tanpamu – Amir Jahari
7. Lagu – Bed Room Sentuary
8. Teman Pengganti – Black & RJ
9. Ku Akui – Hafiz
10. Simetri – Hazama & Amy Seach
11. Andai Ku Bercinta Lagi – Mojo
12. Patah Seribu – Shila Amzah
-mStar
No comments:
Post a Comment