Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Alhamdulillah puji syukur ke
hadrat Allah SWT. kerana di atas taufik dan inayah-Nya dapat kita
meraikan bulan Ramadhan al-Mubarak pada tahun ini dalam keadaan penuh
keberkatan dan kerahmatan.
Bulan Ramadhan adalah merupakan
bulan kemuliaan dan penuh keberkatan yang dikurniakan Allah SWT kepada
umat Islam untuk di ambil peluang bagi meningkatkan keimanan dan
ketaqwaan dengan pelbagai ganjaran pahala yang berlipat-kali ganda.
Ibadat puasa yang dilakukan
dengan penuh kesempurnaan, sudah pasti mampu mengawal segala kemaksiatan
dunia dan dapat mendidik jiwa menjadi lebih tenang dan seterusnya
membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertakwa kepada Allah SWT.
Sesungguhnya bulan Ramadhan ini
adalah bulan perjuangan menentang hawa nafsu. Harus diingatkan di bulan
yang mulia ini kita perlu menginsafi diri dengan membantu para fakir
miskin, anak-anak yatim dan orang yang kurang bernasib baik daripada
kita. Perbuatan membazir haruslah dielakkan. Sikap suka bersedekah
mestilah dipupuk. Zakat fitrah pula janganlah dilupakan.
Menyedari akan kemuliaan bulan
ini, saya menyeru agar semua umat Islam di Malaysia menguatkan lagi
perpaduan ummah kerana harus diingat perpaduan dan penyatuan umat
merupakan asas kekuatan umat Islam pada masa hadapan. Inspirasi
perpaduan daripada peristiwa Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadan
harus di jadikan pedoman oleh umat Islam seluruhnya.
Perpecahan umat Islam akibat
perbezaan dan ideologi politik merupakan salah satu faktor yang boleh
melemahkan kekuatan Islam di dalam negara ini. Yakinilah bahawa
kemenangan dan kejayaan itu hanya akan datang apabila terciptanya
perpaduan di antara yang memimpin dengan yang dipimpin.
Ingatlah sesungguhnya musuh-musuh
Islam sentiasa berusaha untuk memecah-belahkan umat Islam, mereka sedar
kekuatan Islam selama ini banyak bergantung kepada perpaduan yang
terbina erat.
Justeru, bersama-samalah kita
mengenepikan perbezaan pendapat dan ideologi politik demi perpaduan
ummah yang akan membawa seluruh umat Islam di Malaysia ini ke suatu
dimensi baru yang lebih baik pada masa yang mendatang.
Akhir kalam janganlah kita lupa
untuk mencari kerahmatan di malam Lailatulqadar yang mempunyai ganjaran
kebaikan bersamaan seribu bulan. dan rahmat keampunan daripada Allah
SWT. Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah
puasa. Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment