KUALA LUMPUR 24 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan
permohonan Ahli Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bebas dan
Adil (Bersih 2.0) untuk membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri pada
tahun lalu yang mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan haram.
Hakim Datuk Rohana Yusuf memutuskan demikian tanpa kos selepas
berpendapat keputusan Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan Bersih
mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 dicemari dengan keadaan yang
tidak rasional.
Menurutnya, Bersih dikatakan mengancam keselamatan negara tetapi
tindak-tanduk pihak responden yang dinamakan dalam semakan kehakiman
tersebut iaitu Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan
terhadap Bersih menunjukkan sebaliknya.
"Ia boleh jadi dua perkara sama ada Bersih adalah pertubuhan haram
kerana menjadi ancaman kepada keselamatan dan seminggu kemudian ia
tidak lagi menjadi ancaman atau keputusan untuk mengisytiharkan Bersih
adalah haram dibuat tanpa mengambil kira beberapa fakta yang
relevan,’’ katanya.
Permohonan untuk membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri bertarikh
1 Julai 2011 yang menganggap kumpulan tersebut adalah pertubuhan
haram dikemukakan oleh 14 Ahli Jawatankuasa Bersih termasuk
Pengerusinya, Datuk S. Ambiga pada 8 Julai 2011.- UTUSAN
No comments:
Post a Comment