Monday 23 July 2012

Mutakhir 4 termasuk 3 pelajar maut nahas di Pahang

KUANTAN: Tiga pelajar lelaki dan seorang warga emas lelaki maut dalam tiga kemalangan berasingan di Pahang, semalam.

Dalam kejadian di Kilometer 5 jalan lama Bentong-Gombak dekat Bentong, penunggang motosikal, Muhammad Iwan Radzuan, 16, dan pemboncengnya, Muhammad Iqbal Ahmad Fahairol, 13, maut selepas motosikal mereka terbabit nahas dengan sebuah lori.
Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superitendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim dalam kejadian jam 3.30 pagi itu pelajar tingkatan empat dan satu itu dipercayai terbabas di satu selekoh dan memasuki laluan bertentangan.

"Mengakibatkan mereka bertembung dengan lori berkenaan yang dalam perjalanan dari arah Gombak menuju ke Bentong, kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan dan disahkan mati di tempat kejadian.

"Mayat mangsa di bawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat," katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian lain, seorang pelajar kolej swasta, Muhammad Nur Nikmat Mohd Soffian Solian, 18, maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan melanggar tiang elektrik di KM148 Jalan Kuantan - Segamat dekat Rompin.

"Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Gambang ke Melaka melalui Jalan Segamat.
"Sampai di tempat kejadian mangsa dipercayai terlanggar lopak air di sisi jalan sebelah kiri lalu terbabas ke bahu jalan sebelum terlanggar tiang elektrik," katanya.

Sementara itu dalam kejadian lain, seorang warga emas, Tew Chai, 72, dari Jalan Bahagia, Taman Angkasa di sini, maut selepas motosikalnya dilanggar sebuah kereta di Jalan Air Putih, dekat sini.

"Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, mangsa dari arah Semambu menuju ke Air Putih membelok ke simpang kanan secara tiba-tiba sebelum dilanggar kereta berkenaan secara bertentangan," katanya.

Mangsa disahkan mati ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment