Friday 13 July 2012

Kes Tibi Di Pahang Masih Membimbangkan

KUANTAN, 14 Julai (Bernama) -- Kes tuberculosis atau tibi di Pahang didapati masih membimbangkan walaupun jumlah kes yang dikesan tahun lalu berkurangan berbanding dengan tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Pahang, Dr Abu Bakar Awang Ngah berkata jumlah kes yang dikesan pada 2011 adalah sebanyak 788 berbanding 808 kes pada 2010.

"Walaupun penurunan kes berlaku, namun keadaan tersebut dibimbangi tidak melambangkan situasi sebenar. Ini disokong oleh beberapa pencapaian lain yang kurang memberangsangkan termasuk ketidakcapaian sasaran kadar pengesahan kes, peratusan saringan di kalangan pesakit luar yang rendah dan kejadian kes di kalangan kanak-kanak yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat negeri Pahang dan Hari Terbuka Klinik Kesihatan Paya Besar yang dirasmikan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail di sini hari ini.

Dr Abu Bakar juga berkata kanak-kanak kebiasaannya mendapat jangkitan tibi setelah terdedah kepada individu dewasa yang mengidap tibi.

"Kesemua faktor itu memberi gambaran bahawa masih ramai lagi pesakit tibi yang masih belum dikesan dan dirawat, malah terus menyebarkan kuman tibi di dalam komuniti," katanya.

Abdul Manan dalam ucapannya berkata sebanyak 20,666 kes tibi dikesan di Malaysia tahun lepas berbanding 19,337 kes pada tahun sebelumnya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment